fbpx

‘Hutan fantasi’ simbolik cinta epik Tiara Jacquelina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAIN menjadi tempat pelancongan, Tiara memaklumkan Dream Forest akan membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat melalui latihan dan pemindahan teknologi serta mewujudkan peluang pekerjaan.

NAMA Puan Sri Tiara Jacquelina tetap menjadi penanda aras dalam industri perfileman tanah air, baik sebagai pelakon mahupun penerbit

Cukup terkenal menerusi naskhah epik cinta Puteri Gunung Ledang, kecintaan penerbit muzikal Ola Bola terhadap filem tidak pernah luput biarpun agak lama tidak muncul dengan naskhah baharu.

Atas dasar itu juga, beliau tetap peka terhadap isu semasa dunia perfileman termasuk garis panduan Lembaga Penapis Filem (LPF) bagi mengelakkan berlakunya pemotongan adegan penting sehingga menjejaskan impak cerita.

“Sebenarnya ada juga negara lain yang tegas dalam penapisan filem cuma berlainan aras.

“Kalau kita sebagai orang kreatif, kita seharusnya pandai mengatasi masalah tersebut dan jika mengundang sensasi atau LPF tidak menyukai perkara tersebut jangan buat.

“Jangan bazirkan duit, masa dan tenaga dan cuba cari cara kreatif untuk lakukannya,” katanya.

Bagi Tiara, setiap orang mempunyai minat yang berlainan. Beliau pula memilih mengetengahkan budaya Melayu dan Nusantara sehingga tercetusnya idea pembikinan filem legenda.

“Lain pengarah, lain minatnya. Bagi saya, kita kena ada semua genre dalam hiburan.

“Saya pula lebih suka banyak cerita-cerita legenda kerana itu minat saya dan mahu anak-anak membesar dengan cerita sebegini.

“Kita boleh berfikir cara orang barat tetapi asas kita haruslah kuat iaitu mengetengahkan budaya kita,” ujar selebriti berusia 56 tahun itu.

Dream Forest

Bercakap tentang usaha mengetengahkan budaya, Tiara bersama-sama Enfiniti Interactive Xperiences kini giat mengusahakan sebuah projek, Dream Forest iaitu destinasi pelancongan berasaskan teknologi Realiti Terimbuh (AR) yang membawa pengunjung menelusuri hutan belantara.

Selaku Presiden dan Ketua Pencipta Impian Kumpulan Enfiniti, Tiara terpanggil untuk melakukan projek tersebut kerana ingin menghidupkan kisah-kisah legenda, terutama buat hidangan generasi kini yang alpa dengan sejarah lalu.

“Anak-anak zaman sekarang hanya mengenali Ironman dan Spiderman tetapi tidak mengetahui cerita kita.

“Orang zaman sekarang sudah berlainan dengan dahulu. Dahulu, maklumat hanya dengan membaca buku. Kini mereka hanya melayan telefon bimbit atau permainan video. Saya harap cara ini dapat penerimaan baik.

“Sebagai pencinta budaya, saya tetap mahu mengetengahkan cerita-cerita tradisional buat generasi akan datang kerana ini adalah warisan yang menjadikan kita berbeza dari Thailand mahupun Indonesia,” ujarnya.

Istimewanya, projek dengan sokongan pihak berkuasa negeri dan Tourism Malaysia, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan TERAJU (Unit Pemandu Agenda Bumiputera) tersebut menyajikan penceritaan kisah legenda Langkawi menggunakan ‘projection mapping’ yang dipancarkan ke arah pokok-pokok dalam hutan.

“Bagi saya Forest Dream ibarat hutan impian. Apabila masuk terasa macam alam mimpi.

“Kalau boleh bayangkan, Dream Forest ibarat masuk filem dengan pencahayaan seolah-olah berada di dalam alam lain.

“Padahal ini adalah hutan kita yang menggunakan ‘projection mapping’ pada pokok dan laluan pejalan kaki yang penuh dengan penceritaan kisah legenda,” jelasnya.

Dream Forest bakal dibuka kepada pengunjung bermula 1 Mei 2023 di kaki Gunung Raya, Langkawi dengan tarikan pengubahsuaian denai jalan santai sejauh 1.2 kilometer dalam hutan prasejarah berusia ratusan juta tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI