fbpx

17 maut, 100 cedera dalam letupan bangunan di Dhaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sekurang-kurangnya 17 orang maut ekoran letupan berlaku di Gulistan, Dhaka semalam. - Foto Twitter/@TRT World Now

DHAKA – Satu letupan kuat di kawasan Gulistan di bandar ibu negara Bangladesh, Dhaka, semalam meragut 17 nyawa manakala lebih seratus orang dilaporkan cedera, lapor laman berita Wion News.

Antara yang cedera ialah sejumlah penumpang sebuah bas yang berdiri betul-betul di sebelah bangunan tempat letupan itu berlaku.

Sebilangan pejalan kaki turut cedera sehinggakan Kolej Perubatan Dhaka menghadapi tekanan untuk merawat mangsa kerana bilangannya adalah ramai.

Lebih ramai jururawat dan doktor dihantar ke kolej tersebut untuk merawat pesakit selain pegawa-pegawai juga meminta penduduk tempatan tampil menderma darah berikutan ramai mangsa kehilangan banyak darah.

Punca letupan, iaitu sama ada ia berlaku secara spontan atau serangan pengganas yang telah dirancang bagaimanapun masih belum jelas.

Penduduk tempatan mengesyaki ia berkemungkinan berpunca daripada bahan kimia yang disimpan secara haram di dalam bangunan itu dengan kebanyakannya untuk kompleks pejabat dan perniagaan.

“Pada mulanya, saya menyangka ia adalah gempa bumi. Seluruh kawasan Siddik Bazar digegarkan oleh letupan itu.

“Saya melihat 20 hingga 25 orang terbaring di jalan di hadapan bangunan yang rosak. Mereka cedera parah dan berdarah. Mereka menjerit meminta tolong. Ada orang berlari dalam keadaan panik,” kata seorang saksi, Safayet Hossain.

Letupan tersebut menggegarkan aras bawah bangunan tujuh tingkat di Gulistan, yang merupakan hab utama bagi jualan borong barangan di Dhaka.

Dalam kejadian sejurus sebelum pukul 5 petang (waktu tempatan) itu, beberapa aras bangunan tersebut serta dinding tepi musnah yang menyebabkan sisa runtuhan memenuhi jalan-jalan.

“Pegawai-pegawai kami sedang menyiasat sama ada ia merupakan tindakan sabotaj atau kemalangan,” kata Komisioner Polis Dhaka, Khandaker Golam Faruq. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI