fbpx
SARA ALI

Sumpah saya takut kahwin – Sara Ali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SESI fotografi dan temu bual eksklusif Pose bersama bintang berbakat besar, Sara Ali atau nama sebenarnya, Siti Sarah Hairi Ali berlangsung suang. Dalam bahasa mudah, figura yang memainkan karakter sebagai Alis dalam siri original Viu, Nenek Bongkok Tiga itu sangat selesa memberikan kerjasama.

“Tak tahu kenapa saya dipanggil ‘photoshoot’, saya tiada cerita. Saya budak indie,” bersahaja bunyinya nada wanita berusia 33 itu melenturkan kata saat diajak menjamu selera usai mengerjakan tugasan masing-masing tempoh hari.

Borak punya borak, kami berkongsi idea tentang banyak perihal, termasuklah betapa agungnya pelakon Jennifer Coolidge memainkan peranan sebagai Tanya McQuoid dalam siri The White Lotus.

‘Kalaulah saya seorang produser’

Daripada sekecil-kecil ‘penyakit’ orang industri yang dahagakan sensasi kepada ketidakadilan sistem seni yang memerangkap dan menghalang para pelakunya bergerak deras seperti mereka di negara luar, begitulah alur perbualan bersama si pemilik mata bundar itu.

MENJADI antara impian Sara adalah untuk bekerja dengan sutradara tempatan, Zahir Omar yang kini membina nama sebagai pengarah di Indonesia menerusi siri baharu, Tira terbitan Jagat Sinema Bumi Langit.

“Kita kena jujurlah. Platform OTT (over-the-top) macam Viu, Netflix dan HBO adalah cara terbaik mengenal bakat yang patut diangkat.

“Sebab apa? Sebab cerita dalam OTT lain. Macam saya sendiri, saya kenal bakat lakonan baharu Malaysia pun disebabkan OTT, bukan daripada Instagram. Sebab saya bukan orang yang gemarkan media sosial.

“Kendatipun, saya tengok juga drama televisyen ‘cintan-cintun Megah Holdings’ waktu perdana. Bahkan saya kenal Hun Haqeem dan Meerqeen semua dari situ. Kemudian, kami berlakon sama dalam Nenek Bongkok Tiga,” katanya.

Berbicara lanjut, Sara sebetulnya tiada masalah jika ada individu dengan pengikut ramai dalam media sosial dijadikan ‘pemanas’ sesebuah naskhah seni.

Namun, kalaulah dirinya diberikan tanggungjawab atau duduk di posisi produser, taktik atau modus operandi sebegitu tidak menjadi rungutan dalam benaknya.

“Kalau budak-budak baharu banyak ‘followers’ nak berlakon dan mereka punya azam untuk jadi pelakon yang serius, mereka akan dapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada saya.

“Bagi saya, bakat boleh dibentuk atau dilentur. Cuma, tangan-tangan yang ‘bekerja’ dengan mereka juga perlu telus dan buat betul-betul.

“Pengarah, penerbit dan mereka yang ada tanggungjawab perlulah fikir tentang industri. Bukan sekadar jual wajah atau populariti dan lepas tangan.

Zahir Omar, ‘sebelum negara lain ambil’

“Kalau saya jadi produser, saya tak ambil kisah sangat tentang siapa ada bilangan pengikut ramai atau benda-benda begitu. Bagi saya, semua orang boleh berlakon, cuma perlu bimbingan sewajarnya.

“Sebenarnya, saya dah penat nak cakap tentang industri tapi saya percaya bahawa kita sedang bergerak ke satu arah yang membanggakan. OTT adalah sebab mengapa industri kita deras maju sekarang. Saya tak boleh nafikan fakta itu,” tutur anak seni yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu.

Ditebak tentang anak Malaysia yang berjaya membina nama di luar negara seperti Tan Sri Michelle Yeoh, Henry Golding dan bahkan Yuna, Sara bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh pelakon senior, Bront Palarae, baru-baru ini.

SARA bangga dengan kemajuan yang ditunjukkan pelaku seni filem tempatan sejak akhir-akhir ini terutama dengan kewujudan lebih banyak platform OTT.

“Saya setuju dengan Bront. Kalau ada impian besar, pergi pack your bag and leave (tinggalkan negara).

“Malaysia banyak bakat yang bagus tapi tak dibangunkan dengan betul.

“Kalau saya ada peluang, saya pun nak ‘cau’ (pergi). Saya sendiri tak tahu kenapa saya ‘stay’. Kalau tanya saya, saya nak sangat kerja dengan pengarah Zahir Omar.

“Saya tengok kerja dia dalam The Bridge dan Fly By Night, dia memang terbaik.

“Dia sekarang dah mengarah karya Indonesia untuk produksi Jagat Sinema Bumi Langit berjudul Tira lakonan Chelsea Islan. Malaysia patut hargai Zahir sebelum negara lain ‘ambil’,” katanya.

Takut kahwin

Diajak berbicara tentang soal peribadi, Sara tidak mengelak. Dia memberikan senyuman sinis seraya berkata: “Saya malas ambil ‘port’ tentang kehidupan orang lain tapi saya tahu apa yang sedang berlaku sekarang.

“Saya tidak berada pada posisi untuk bercakap tentang masalah orang. Saya dah solo lebih tujuh tahun dan sampai sekarang masih belum berkahwin.

“Sebagai seorang wanita yang sangat menjunjung semangat feminisme, saya sokong apa yang kawan-kawan saya buat. Kalau rasa diri dianiaya, sila bangun dan pertahankan diri anda.

“Kalau kena pukul dengan suami, jangan biarkan dan lawan balik kerana kita tak layak diperlakukan sedemikian rupa. Keluar daripada hubungan yang entah apa-apa dan tidak menjanjikan atau menjamin kebahagiaan.

SEBAGAI seorang wanita, Sara mengakui punya impian mahu berdamping dengan teman sehidup semati. Namun katanya, jika sudah tertulis dirinya tidak berkahwin sehingga hujung nyawa, dia reda.

“Bila baca berita sekarang tentang kawan-kawan, saya sakit hati. Mana tak sakit hati, mereka itu manusia dan kaum Hawa diperkotak-katikkan sebegitu. Memang tak patut.”

Sebelum menggulung perbualan, Sara ditanya tentang bagaimana dia melihat institusi perkahwinan dengan kebobrokan yang banyak berlaku sekarang. Akui Sara, dia takut mahu berkahwin.

“Sumpah, takut nak kahwin kalau tengok apa yang berlaku sekarang.

“Kalau hidup seorang tak berpasangan sampai mati pun tak apa. Tapi, soal jodoh ini ketentuan Ilahi. Saya tiada kuasa,” ungkapnya memberi noktah perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN