fbpx

Rancangan Tebatan Banjir perlu lulus, segerakan Jun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANWAR menyantuni mangsa banjir ketika melawat di PPS SJKC Kampung Tengah, Segamat hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

SEGAMAT – Kerajaan memutuskan semua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM600 juta ke atas diluluskan dan disegerakan mulai Jun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan kerajaan itu dibuat bagi mengelakkan bencana banjir berulang semula sekali gus menjejaskan rakyat.

“Kita putuskan projek mahal RM600 juta atau lebih untuk RTB akan disegerakan. Itu kita lulus dan akan segerakan.

“Tempoh hari saya tangguh sebentar (projek RTB) kerana kita tidak mahu peruntukan untuk bantu rakyat ada ketirisan, ada kecurian.

“Kita perlu proses tender walau disegerakan. Semua projek RTB yang diluluskan harus semuanya beroperasi mulai Jun ini. Jadi tak boleh dilengahkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Tengah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gemereh.

Pada 5 Disember lalu, beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion, dilaporkan tidak diteruskan.

Anwar dilaporkan berkata, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi amaran keras supaya mana-mana jangan mencari peluang mendapatkan habuan tambahan membabitkan apa jua peruntukan kerajaan terutama untuk banjir.

“Saya dah minta ia disegerakan, maksudnya Jun harus ‘take off’ projek RTB. Kita tangguhkan dulu kerana ada masalah.

“Saya mahu beri amaran keras jangan guna peruntukan semasa banjir atau darurat atau apa jua masalah dihadapi rakyat, jangan guna itu bagi mencari peluang untuk habuan tambahan,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, Menteri Besar ada memaklumkan beberapa projek baharu berkaitan tebatan banjir yang diperlukan di Johor.

“Saya maklumkan oleh kerana kerajaan boleh jimatkan beberapa kos antara RM1 hingga 2 bilion dari projek lama, wang itu boleh dipindahkan untuk memulakan projek baharu.

“Projek baharu itu setakat ini membabitkan Segamat, Kota Tinggi dan kawasan kritikal dilanda banjir lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI