MANCHESTER – Manchester United meneruskan pemburuan trofi kedua mereka musim ini apabila melangkah ke suku akhir saingan Piala FA selepas menewaskan West Ham United 3-1 pada pusingan kelima di Old Trafford awal pagi semalam.
Walaupun ketinggalan terlebih dahulu selepas West Ham menjaringkan gol menerusi Said Benrahma, namun The Red Devils bangkit dengan tiga gol hasil jaringan Alejandro Garnacho, Fred serta gol sendiri Nayef Aguerd.
Kapten United, Harry Maguire mendedahkan, dia dan rakan-rakan sepasukan telah ‘dibasuh’ oleh pengurus, Erik ten Hag pada waktu rehat selepas mereka menampilkan aksi kurang memuaskan sepanjang 45 minit separuh masa pertama.
“Beliau (Ten Hag) sangat marah selepas tamat separuh masa pertama kerana beliau tahu kami perlu tingkatkan lagi usaha. Semua pemain juga sedar jika kami tidak memperbaiki permainan, United akan tewas.
“Kemudian, West Ham berjaya menjaringkan gol walaupun kami tahu bola sudah terkeluar daripada permainan, namun kami hanya patuh pada pengadil. Pada 30 minit terakhir, kami berjaya mendapatkan semula rentak permainan seterusnya bangkit mencatat kemenangan,” katanya.
Pemain antarabangsa England itu juga menganggap dia dan rakan-rakan sepasukan masih berada dalam keadaan penat selepas beraksi serta meraikan kejayaan mereka menjulang Piala Liga Inggeris (EFL) menewaskan Newcastle United Isnin lalu.
“Saya juga tidak tahu mengapa kami bermain kurang baik pada separuh masa pertama, mungkin masih terkesan dengan aksi final EFL sebelum ini. Bagaimanapun, kami berjaya mengatasi masalah tersebut di separuh masa kedua,” ujar Maguire. – AGENSI














