KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara menasihatkan mana-mana individu yang terpedaya dengan melakukan transaksi perbankan boleh membuat panggilan di talian 997 untuk pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas akaun tersebut.
Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini Penubuhan Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat.
Bagaimanapun menurutnya, masih ada segelintir masyarakat yang ragu-ragu dengan nombor hotline 997 NSRC.
“Nombor talian 997 diperkenalkan oleh NSRC yang diketuai oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama beberapa agensi lain.
“Tujuan nombor talian itu adalah untuk mengurangkan kesan penipuan yang dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap mangsa,” katanya ketika berucap dalam sidang akhbar Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022, di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Jelas Acryl, pihaknya akan mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu perkhidmatan pusat panggilan kecemasan tersebut selepas mendapat aduan dari orang ramai.
“Setakat ini, waktu operasi NSRC dari jam 8 pagi hingga 8 malam, namun orang ramai yang membuat panggilan pada jam 10 malam, namun tiada respon daripada NSRC.
“Kita akan meminta waktu operasi NSRC itu dilanjutkan sehingga 24 jam,” katanya.
NSRC ditubuhkan bagi membantu mangsa penipuan siber agar bertindak segera daripada terus menanggung kerugian akibat pengeluaran wang tanpa sekatan.
NSRC menggabungkan kerjasama PDRM, BMM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan National Anti-Finacial Crime Centre (NFCC) sebagai inisiatif membendung penipuan secara dalam talian.-KOSMO! ONLINE.














