PETALING JAYA – Tempahan pelanggan untuk bufet berbuka puasa di hotel-hotel pada Ramadan tahun ini dijangka tidak terjejas walaupun kos sara hidup rakyat semakin meningkat sehingga ada yang mengambil pendekatan berjimat cermat.
Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Datin Christina Toh berkata, tempahan bufet berbuka puasa dijangka meningkat pada minggu kedua dan ketiga Ramadan berbanding minggu pertama.
“Umat Islam dijangka berpuasa tahun ini bermula 23 Mac (berdasarkan kalendar Hijrah), jadi kebanyakannya pada hujung minggu itu mungkin ramai yang balik kampung untuk berbuka. Jadi tempahan hotel dan restoran perlahan sedikit.
“Kebiasaannya tempahan meningkat untuk minggu kedua dan ketiga Ramadan sebelum perlahan kembali pada minggu akhir puasa selepas ramai pulang ke kampung untuk sambut Aidilfitri,” katanya kepada Kosmo!.
Beliau berkata, hotel-hotel dan restoran juga ada yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus menerusi tempahan awal atau early bird, sekali gus menarik lebih ramai pelanggan untuk berbuka puasa di situ.
“Berbuka puasa di hotel ini bukan buat hari-hari. Kebanyakan orang berbuka puasa bersama keluarga selain kawan-kawan, ia seperti reward (hadiah) untuk diri selain mahu berseronok meluangkan masa bersama.
“Justeru, hotel masih ada potensi (mendapatkan pelanggan). Sebelum ini kita berdepan dengan pandemik Covid-19 dan tahun ini, kita berharap dapat menjalani kehidupan secara normal sepenuhnya,” ujarnya.
Christina berkata, selain promosi diskaun tempahan awal, menu hidangan juga antara cara menarik pelanggan memilih pakej yang ditawarkan.
“MAH Negeri Sembilan misalnya akan mengadakan festival makanan melibatkan pelbagai hotel di negeri tersebut pada Sabtu ini.
“Hotel-hotel ini akan mempromosikan pakej berbuka puasa masing-masing, sekali gus memberi banyak pilihan kepada pengunjung,” katanya.














