JOHOR BAHRU – Situasi banjir di negeri ini semakin membimbangkan apabila seramai 33,149 mangsa ditempatkan di 217 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka di seluruh Johor, setakat pukul 8 pagi, hari ini.
Jumlah mangsa banjir itu terus merekodkan peningkatan berbanding seramai 28,486 mangsa di 198 PPS setakat pukul 8 malam, semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, jumlah mangsa terkini itu terdiri daripada sebanyak 7,997 buah keluarga.
“Kesemua 10 daerah di negeri ini terjejas akibat banjir disebabkan hujan berterusan yang telah memasuki hari ketiga dengan daerah yang menempatkan paling ramai mangsa adalah Segamat dengan seramai 12,186 mangsa.
“Ini diikuti daerah Kluang (5,174); Batu Pahat (4,340); Kota Tinggi (3,689); Muar (2,829); Tangkak (1,999); Johor Bahru (1,216); Mersing (722); Kulai (630) dan Pontian (364),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Azmi, sejak bencana banjir melanda negeri ini, tiga penduduk telah dilaporkan lemas iaitu K. Sarathkumar yang menetap di Kluang, dan Lee Amo Yee serta Tan Sue Ke yang menetap di Segamat.
Sarathkumar dipercayai maut dalam kenderaan selepas kenderaan itu dihanyutkan arus deras ketika berada dalam perjalanan, manakala Amo Yee dan Sue Ke dilaporkan mati lemas.
Menurut Azmi lagi, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pula menunjukkan sebahagian besar negeri ini berada di bawah amaran buruk untuk amaran hujan berterusan, manakala Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian pula menunjukkan amaran waspada.
“Sebanyak 13 sungai turut diletakkan bawah kategori paras air berbahaya antaranya Sungai Gemas, Sungai Muar, Sungai Tangkak, Sungai Kesang, Sungai Bekok dan Sungai Kahang dan Sungai Johor,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, terdapat 10 laluan yang telah ditutup untuk semua jenis kenderaan antaranya Jalan Felda Kemelah, Jalan Felda Pemanis, Felda Medoi, Jalan Johor Bahru-Seremban; Jalan Senai-Gemas dan Jalan Muar-Tangkak. – KOSMO! ONLINE














