fbpx

Pemaju gagal patuhi SOP, lebih 200 A-Frame disalahguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Besi A-Frame yang disalah guna sebagai penyangga di tapak pembinaan apartmen di Taman Mutiara Barat, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menemui lebih 200 bahan binaan besi perancah (A-Frame) disalahgunakan sebagai penyangga di tapak pembinaan apartmen di Taman Mutiara Barat, di sini, hari ini.

Besi perancah A-Frame adalah binaan sementara yang diperlukan semasa pembinaan bangunan dan berfungsi untuk memudahkan pekerja binaan mengikat bata, melepa, memasang siling, mengecat dan sebagainya pada tempat yang tinggi dengan selamat.

Pengarah CIDB Kuala Lumpur, Datuk Gerald Sundaraj berkata, kontraktor utama telah berurusan dengan bahan binaan besi perancah (A-Frame) yang tidak diperakui oleh CIDB.

Katanya, hasil operasi turut menemukan empat subkontraktor tidak mengisytihar projek kepada dan seramai 40 pekerja binaan mahir dan enam orang penyelia tapak perlu diakreditasi.

“Akreditasi itu perlu dibuat buruh bagi mencapai tahap tertinggi, mereka boleh hadirkan diri ke Akademi Binaan Malaysia dan yang penting memenuhi kriteria Sijil Kecekapan Kemahiran Pembinaan CIDB (SKKP),” katanya.

Menurut Gerald, pihaknya mengeluarkan lima notis antaranya N2/2015 kepada pemaju untuk mengemukakan maklumat mengenai industri pembinaan (kontraktor).

Diikuti dengan notis N3C/2015 mengarahkan untuk memberhentikan kerja pembinaan, notis N10/2015 kesalahan pendaftaran akreditasi dan latihan personel binaan.

“Seterusnya notis N11/2020 dan notis N12/2015 atas kesalahan di bawah subseksyen 33D(1) (bahan binaan),” katanya ketika ditemui di tapak pembinaan apartmen di Taman Mutiara Barat, di sini, hari ini.

Operasi penguatkuasaan bersepadu itu turut melibatkan 78 anggota dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaaan (JKKP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ibu Pejabat Polis (IPD) Cheras, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCORP) dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Tengah (ABMWT).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Kuala Lumpur, Che Mohd Rokman Che Awang berkata, terdapat 20 kabin di tapak bina dan setiap kontena didiami oleh enam pekerja serta penginapan tersebut disediakan secara percuma.

Katanya, siasatan di kawasan penginapan pekerja tempat pembinaan tersebut didapati tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan di bawah Akta 446.

“Satu serahan Saman F telah dikeluarkan hari ini kepada syarikat ini bagi tujuan pemeriksaan lanjutan dan tarikh temu duga akan dijalankan pada 6 Mac ini pukul 2 petang

“Sehubungan itu, empat syarikat akan dipanggil untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Che Mohd Rokman, kertas siasatan akan dibuka di bawah perlanggaran Akta Perburuhan seperti Akta 446 dan Akta 265. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI