fbpx

Henti projek komersial baharu, bina KL2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kesesakan lalu lintas yang teruk di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur kini bukan lagi sinonim sebagai bandar raya moden, penuh pencakar langit dan infrastruktur yang menjadi perbualan masyarakat. Hari ini apa yang sering diperkatakan masyarakat adalah mengenai kesesakan melampau yang perlu dilalui setiap hari.

Timbul kisah mereka yang keluar seawal pukul 5.30 pagi hanya untuk sampai ke tempat kerja pada awal pagi. Mereka kemudian solat di mana-mana surau dan kemudian sambung tidur di dalam kereta sebelum memulakan tugas.

Itu realiti hidup di Lembah Klang. Bangun awal dan tidur dalam kereta atau berhadapan kesesakan. Kebanyakan mereka yang memasuki Lembah Klang, Kuala Lumpur atau pesisiran pusat bandar raya akan menceritakan mengenai perjalanan selama dua jam satu hala setiap hari.

Keadaan diburukkan lagi apabila hujan, banjir kilat atau pokok tumbang. Secara kasar ada yang menghabiskan empat jam sehari di dalam kereta.

Jika 20 hari kerja, ia bermakna seseorang menghabiskan kira-kira 80 jam sebulan di dalam kereta hanya untuk ke tempat kerja. Itu bersamaan 3.3 hari dalam sebulan kerusi kereta menjadi teman.

Jika Kuala Lumpur terletak di kawasan tanah mendap dan diambil semua kereta yang terpaksa bersesak-sesak dikumpulkan pada satu kawasan, pasti ibu negara Malaysia ini telah tenggelam menanggung beban kenderaan.

Itu tidak termasuk lagi kehilangan ratusan ribu liter minyak RON95 yang kira-kira satu pertiga kosnya disubsidi oleh kerajaan. Mungkin ‘kehilangan’ minyak subsidi akibat kesesakan jalan raya bernilai puluhan juta ringgit.

Masalah kesesakan diburukkan apabila ada papan tanda yang melarang kenderaan berat memasuki pusat bandar raya sebelum pukul 9.30 pagi tetapi siapa yang peduli.

Deretan lori menambahkan kesesakan di bandar raya. Malaysia sememangnya negara yang kaya dengan undang-undang tetapi tiada penguatkuasaan. Ia umpama pepatah masyarakat Cina membalut bara api dengan kertas.

Undang-undang hanya rujukan apabila diperlukan. Bayangkan jika pusat pentadbiran kerajaan masih berpusat di KL. Pasti bandar ini sudah tidak bergerak langsung. Banyak idea sudah dicadangkan tetapi keadaan semakin buruk. Sistem transit aliran ringan dibina bernilai ratusan bilion tetapi tidak menampakkan pengurangan kesesakan.

Penyelesaian yang diperlukan ialah melarang sebarang bentuk pembangunan komersial di Kuala Lumpur. Tiada lagi pejabat baru. Tiada lagi bangunan tinggi sebagai struktur perniagaan. Ini kerana Kuala Lumpur tidak lagi mampu menampung kemasukan kenderaan.

Pembangunan yang dilaksanakan tidak mengambil kira ‘volume’ kenderaan. Setiap plot yang ada dibina pencakar langit tetapi tiada siapa memikirkan jumlah kenderaan yang akan membawa penghuni ke bangunan-bangunan ini.

Mungkin tiba masanya pihak berkuasa mula memikirkan pembinaan KL2 sebagai bandar kembar atau alternatif. Semua pembangunan komersial baru harus dilaksanakan di KL baru seperti kerajaan Indonesia memindahkan ibu negaranya dari Jakarta ke Nusantara di Kalimantan.

Langkah itu semestinya memerlukan keberanian. Pihak berkuasa mesti memaksa pembinaan komersial baru untuk keluar dari KL. Itu satu-satunya pilihan yang ada atau bersedia untuk menghabiskan enam jam sehari berada di dalam kereta untuk sampai ke pejabat.

Anda tidak akan dapat membunuh lipas menggunakan kapak. Begitu juga kesesakan di Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI