fbpx

Amaran banjir di Johor, Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan banjir di Kota Tinggi, Johor.

PETALING JAYA – Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) meramalkan kejadian banjir boleh berlaku di beberapa kawasan di Johor dan Pahang hari ini.

JPS menerusi makluman di laman webnya berkata, ramalan tersebut dikeluarkan susulan amaran hujan berterusan kategori waspada yang diberikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam.

“Kejadian banjir boleh berlaku di daerah Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi dan Kulai sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di negeri Johor.

“Di Johor Bahru lokasi yang dijangka dilanda banjir ialah di Jalan Sungai Tiram, Kampung Kangkar Sungai Tiram dan kawasan sekitarnya mulai pukul 12 tengah malam tadi.

“Di Kluang pula, kawasan terlibat ialah di Sungai Mengkibol dan kawasan sekitarnya bermula 3 pagi tadi,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, di Kota Tinggi pula dijangka banjir boleh berlaku di Kampung Semanggar dan kawasan sekitarnya bermula 9 pagi tadi.

“Di Kulai pula, keadaan itu diramalkan boleh berlaku di Sungai Siam di Kampung Sungai Siam dan kawasan sekitarnya.

“Bermula pukul 1 tengah hari ini pula, banjir diramalkan berlaku di Kampung Baharu dan kawasan sekitar Kluang,” ujarnya.

Selain itu, turut dikenakan amaran banjir ialah di Sungai Kahang di Batu 26, Jalan Kluang dan kawasan sekitar Kluang serta Kampung Sungai Telor dan kawasan sekitarnya di Kota Tinggi bermula 7 malam nanti.

“Turut diramalkan terlibat banjir ialah di Pekan Layang-layang dan kampung Orang Asli Sedohok di Kluang pada pukul 10 malam nanti,” tambahnya.

Tambah makluman itu, amaran banjir turut melibatkan beberapa kawasan di daerah Rompin, Pahang.

“Antara kawasan terlibat ialah di Felda Selancar, Jambatan Kampung Kedaik, Kampung Buluh Nipis, Kampung Rekoh Baru dan Sungai Anak Endau.

“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada masa yang dijangkakan. Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk di kawasan terlibat lebih berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI