fbpx

Agong perkenan berangkat kunjungan kepada Presiden UAE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah berangkat melakukan kunjungan hormat kepada Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan. FOTO ISTANA NEGARA

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melakukan kunjungan hormat kepada Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan di Qasr Al Bahr, Abu Dhabi, semalam.

Istana Negara menerusi kenyataan memaklumkan, Seri Paduka Baginda diiringi oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir, wakil pemerintah di Wilayah Dhafra, Sheikh Hamdan Zayed Al Nahyan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Duta Besar Malaysia ke UAE, Tuan Yang Terutama Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

Dalam pertemuan pada pukul 9.30 malam waktu Malaysia, kedua-dua pemimpin berkenaan telah menyentuh mengenai langkah dan usaha bagi memperkasakan lagi hubungan dua hala dalam pelbagai aspek.

Dalam pada itu, Agong turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan UAE atas kesudian menerima sumbangan sebanyak 42 ton barangan bantuan kemanusiaan daripada kerajaan Malaysia untuk disalurkan menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah UAE kepada mangsa gempa bumi di Syria baru-baru ini.

Seterusnya, baginda turut berkenan mempersilakan Sheikh Mohamad untuk melakukan lawatan ke Malaysia.

Pertemuan itu kemudiannya disusuli dengan majlis santapan malam di Qasr Al Shatie, Abu Dhabi.

Menurut Istana Negara, baginda bersama Permaisuri Agong kini berada di UAE bagi lawatan khas selama tujuh hari sehingga hari ini. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI