fbpx

Bekas kerani didakwa guna dokumen kerajaan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bekas kerani Pejabat Jurutulis DUN Johor didakwa atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang bekas kerani Pejabat Jurutulis Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen kerajaan palsu antara Januari 2017 hingga Januari 2019.

Tertuduh, Muhammad Farhan Salleh, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Farhan telah dengan curangnya menggunakan tiga set dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) palsu atas nama tiga syarikat berlainan di Pejabat Jurutulis Dewan Undangan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri.

Dia didakwa membuat kesalahan itu pada tiga waktu berasingan iaitu pertama pada Januari 2017, kedua pada Februari 2018 dan terakhir pada Januari 2019.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Sementara itu, peguam tertuduh, Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly memohon mahkamah memberi jaminan rendah kepada tertuduh yang kini bekerja sendiri sebagai seorang peniaga setelah berhenti sebagai kakitangan kerajaan pada tahun 2020 lalu.

“Tertuduh kini bekerja sendiri dengan pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,500 sebulan, manakala isterinya tidak bekerja. Tertuduh turut menanggung dua anak-anak yang masih bersekolah dengan masing-masing berusia 11 dan 8 tahun,” ujarnya.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin warga negara Malaysia, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Mac ini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Chan Choon Yew. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI