fbpx

Turkiye perlu bina lebih 500,000 kediaman baharu mangsa gempa bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH keluarga sedang minum kopi di rumah mereka yang rosak teruk akibat gempa bumi di kejiranan al-Masharqa, bandar Aleppo pada 21 Februari lalu. - AFP

ANKARA – Turkiye mula membina semula rumah penduduk yang musnah akibat gempa bumi dahsyat yang berlaku awal bulan ini, kata seorang pegawai kerajaan seperti laporan akhbar New York Post kelmarin.

Lebih 160,000 bangunan yang terdiri daripada 520,000 pangsapuri runtuh atau rosak teruk susulan gempa pada 6 Februari lalu.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) mengumumkan bahawa angka korban di Turkiye meningkat kepada 44,218 orang pada Jumaat lalu.

Dengan jumlah kematian di Syria diumumkan seramai 5,914 orang, angka korban di kedua-dua negara kini meningkat melebihi 50,000 orang.

Menjelang pilihan raya umum dalam tempoh beberapa bulan lagi, Presiden Recep Tayyip Erdogan berjanji untuk membina semula kediaman penduduk dalam tempoh hanya setahun, walaupun pakar-pakar berkata, pihak berkuasa perlu mengutamakan keselamatan berbanding aspek kecepatan.

Beberapa bangunan yang didakwa dibina kalis gempa bumi turut runtuh dalam gegaran tersebut.

“Sebilangan projek, tender dan kontrak telah diluluskan. Proses pembinaan bergerak sangat pantas,” kata seorang pegawai sambil menambah, kerajaan tidak akan berkompromi mengenai aspek keselamatan.

Menurut pihak berkuasa, banyak khemah telah dihantar kepada penduduk yang hilang tempat tinggal, namun orang ramai mengadu bahawa mereka mengalami masalah untuk mendapatkannya.

“Saya mepunyai lapan orang anak. Kami tinggal di sebuah khemah. Terdapat air di atas khemah dan tanahnya lembap.

“Kami meminta lebih banyak khemah tetapi mereka tidak memberikannya kepada kami,” kata Melek, 67, yang ditemu bual ketika menunggu dalam barisan untuk mengambil bantuan di luar sebuah sekolah menengah di bandar Hassa.

Rancangan awal kerajaan Turkiye adalah untuk membina 200,000 pangsapuri dan 70,000 rumah kampung dengan kos sekurang-kurangnya AS$15 billion (RM66.5 bilion).

Bank Amerika Syarikat , JPMorgan menganggarkan pembinaan semula rumah dan infrastruktur lain di kawasan terjejas gempa bumi akan menelan belanja sekitar AS$25 bilion (RM110.9 bilion).

Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) berkata, bencana dahsyat itu menyebabkan 1.5 juta orang kehilangan tempat tinggal, dengan 500,000 rumah baharu diperlukan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI