fbpx

Ustaz Azhar Idrus tiada tauliah mengajar agama Islam di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.

SHAH ALAM – Pembatalan kuliah maghrib pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong pada Ahad ini adalah disebabkan penceramah itu tidak mempunyai tauliah mengajar tentang agama Islam di Selangor.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, semua individu yang mengajar tentang agama Islam di Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan.

“Hasil semakan mendapati bahawa Ustaz Azhar Idrus tidak mempunyai tauliah mengajar tentang agama Islam di Negeri Selangor.

“Kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuatkuasa di negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Shahzihan turut menegaskan pihak masjid atau surau juga tidak boleh menjemput individu yang tidak memiliki tauliah mengajar yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.

Kosmo! terdahulu melaporkan Kuliah Maghrib Perdana pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus yang dijadualkan berlangsung di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pada Ahad ini dibatalkan.

Melalui akaun Facebook Azhar memaklumkan, pembatalan kuliah tersebut adalah atas faktor tidak mendapat kebenaran daripada JAIS untuk dilaksanakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI