fbpx

Sinar di hujung terowong buat United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SELEPAS kempen Piala Dunia 2022 di Qatar berakhir, pelbagai senario dapat disaksikan terutama pergerakan kedudukan carta Liga Perdana Inggeris musim ini dan tumpuan seharusnya diberikan kepada Manchester United yang dikendalikan oleh Erik Ten Hag.

Selepas mengharungi 24 perlawanan setakat ini, United berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul 49 mata, kekurangan lima mata di belakang pendahulu, Arsenal yang masih memiliki kelebihan satu perlawanan, manakala jiran mereka, Manchester City pula hanya lebih tiga mata di kedudukan kedua.

Berbaki 14 perlawanan lagi untuk menamatkan saingan musim ini, Arsenal dilihat semakin hampir untuk menamatkan kemarau kejuaraan, namun The Red Devils tiba-tiba sahaja mencuri tumpuan apabila ada yang mula mempercayai mereka mampu melakar kejutan merangkul kejuaraan musim ini.

Namun, agak keterlaluan untuk menyatakan bahawa United sedang berada pada prestasi terbaik memburu gelaran itu, namun ia juga mungkin disebabkan aksi kurang konsisten dipamerkan City ataupun Arsenal ketika ini menjadikan harapan itu seakan bersinar.

Secara matematiknya, United mempunyai peluang meraih 42 mata pada baki perlawanan untuk mengumpul 91 mata keseluruhan musim ini, namun berdasarkan statistik lima atau enam musim lalu, setiap pasukan memerlukan jumlah mata yang lebih daripada itu untuk memenangi kejuaraan kecuali musim 2020/21 ketika City merangkul kejuaraan dengan mengutip 86 mata.

Laporan portal Sporting Life menyebut bahawa Ten Hag telah berjaya menjalankan tugasnya dengan baik, namun beliau dianggap masih belum mampu untuk membawa United memenangi kejuaraan musim ini, malah pasukan itu memiliki peluang lebih besar ketika dibimbing Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer.

Berdasarkan Jangkaan Mata Per Perlawanan (xP), United sekadar menduduki tangga keenam musim ini di belakang Liverpool yang sedang berdepan krisis prestasi, selain Jangkaan Perbezaan Jaringan (xGD) juga menunjukkan mereka tidak jauh berbeza dengan Brentford.

Angka-angka berkenaan menyaksikan portal berkenaan membuat kesimpulan bahawa United masih jauh untuk dianggap sebagai pasukan yang mampu mencabar kejuaraan musim ini.

Ten Hag selepas menyaksikan pasukannya menewaskan Leicester City di Theatre of Dream hujung minggu lalu masih kekal dengan pendirian bahawa United belum sedia membayangkan mengenai kejuaraan EPL, malah mereka fokus untuk memperbaiki prestasi pasukan terlebih dahulu.

Sebagaimana bola itu bulat, maka tidak ada sesiapa yang mampu menjangkakan apa yang akan berlaku pada akhir Mei nanti, Arsenal mungkin belum benar-benar sempurna untuk merangkul kejuaraan sementara City pula berdepan dakwaan memungkinkan mereka menghadapi hukuman termasuk pemotongan mata.

Situasi-situasi berkenaan pastinya akan memberi manfaat besar buat United untuk merangkul kejuaraan selepas hampir 10 tahun kemarau apabila Sir Alex Ferguson bersara sebaik musim 2012/13 berakhir. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI