fbpx

31 keldai akaun ditahan, babit kerugian lebih RM2.82 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seramai 31 individu disyaki ‘keldai akaun’ telah ditahan dengan melibatkan kerugian lebih RM2.82 juta bagi tempoh Januari sehingga 20 Februari tahun ini di sekitar Petaling Jaya.

Dalam tempoh tersebut juga, sebanyak 29 kertas siasatan telah dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, keldai akaun adalah mangsa ‘scammer’ di atas talian mahupun fizikal yang membenarkan nama dan butiran peribadi mereka digunakan bagi mendapat imbuhan atau wang.

“Sindiket keldai akaun ini akan memperdaya mangsa menyebabkan mereka sanggup meminjamkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pin dengan mengenakan bayaran antara RM200 hingga RM2,000 bagi setiap transaksi.

“Cara mereka mendapatkan akaun berkenaan adalah melalui tawaran iklan di media sosial atau ditawarkan melalui rakan dengan jumlah bayaran tertentu.

“Alasan yang biasa digunakan adalah untuk tujuan perniagaan atau untuk ahli keluarga memasukkan wang kerana tiada akaun bank serta menyasarkan golongan yang memerlukan sumber kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, di dalam kes ini, terdapat dua golongan yang telah dikesan oleh pihak polis iaitu mangsa keldai akaun dan mereka yang bersubahat dengan sindiket tersebut.

Jelasnya, bagi mangsa keldai akaun, kebiasaannya akan kehilangan kad ATM dan laporan polis akan dibuat untuk melindungi mereka daripada perkara berbangkit di kemudian hari.

“Bagi mereka yang bersubahat dengan sindiket, akaun keldai yang dimiliki kebiasaannya mempunyai hubungan dengan sindiket,” katanya.

Kesemua tangkapan ini telah berjaya dituduh di mahkamah dengan pelbagai modus operandi di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin turut menasihati orang ramai supaya segera membuat laporan polis jika kehilangan apa sahaja dokumen diri yang penting.

Katanya, ia bagi mengelakkan daripada mana-mana sindiket menggunakan maklumat tersebut untuk aktiviti-aktiviti haram sekaligus melindungi diri daripada menjadi mangsa keldai akaun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI