fbpx

Jurukimpal rugi RM339,900 diperdaya pegawai ‘Bank Negara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA KRAI – Seorang jurukimpal hanya mampu berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM339,900 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai polis dan pegawai Bank Negara Malaysia (BNM).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan menerima laporan seorang lelaki berusia 52 tahun yang ditipu sindiket Macau Scam bermula 17 November hingga 29 Januari lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar pegawai polis sebelum mendakwa lelaki itu menjual MyKad miliknya pada harga RM12,000 sebelum dokumen itu digunakan untuk kegiatan jenayah.

“Individu yang menyamar pegawai polis itu mendakwa mangsa terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram yang bernilai jutaan ringgit.

“Panggilan itu kemudiannya disambung kepada pegawai BNM yang mengarahkan mangsa menyerahkan semua maklumat termasuk gambar kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata, sepanjang tempoh lebih dua bulan, mangsa telah diarahkan untuk mengeluarkan wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya untuk dipindahkan ke dua akaun bank baharu yang telah dibuka.

Menurutnya, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM200,000 melalui 19 transaksi ke dalam akaun sebuah bank manakala 11 lagi transaksi sebanyak RM139,900 ke sebuah lagi akaun bank.

“Lelaki itu menyedari dia diperdaya sindiket Macau Scam selepas adiknya terdengar perbualannya dengan suspek sebelum terus membuat laporan polis,” katanya.

Tambah Muhamad Zaki, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI