fbpx

Emp4t tunaikan Impian psikopat Adriana Adnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADRIANA ADNAN

FILEM genre seram sudah tidak asing lagi dalam dunia perfileman Malaysia, namun sebuah karya terbaharu arahan Ayez Shaukat berjudul Emp4t menjanjikan kelainan tersendiri selain mengangkat beberapa pelakon baharu sebagai bintang utama.

Pada awalnya, Emp4t dirancang diterbitkan sebagai sebuah drama, tetapi selepas menjalani proses penggambaran, jalan cerita karya tersebut dilihat berpotensi melakar kejayaan lebih jauh jika dihasilkan dalam bentuk filem.

Selaku pengarah dan juga pelakon dalam filem Emp4t, Ayez berkata, naskhah yang merupakan hasil karya bersama Silver Yee dihasilkan daripada kisah realiti.

“Filem ini direka sepenuhnya oleh saya dan istimewanya jalan cerita dalam Emp4t adalah 100 peratus berdasarkan al-Quran.

“Kebanyakan filem lain selalunya berdasarkan kepercayaan kaum, tetapi Emp4t merungkai bagaimana jin mengganggu manusia, fungsi mereka dalam dunia dan tanda jika diganggu.

“Saya juga melakukan penyelidikan mendalam dengan berjumpa beberapa ustaz dan pakar perawatan Islam sebelum merangka jalan cerita filem ini,” katanya.

FILEM Emp4t arahan Ayez Shaukat dan Silver Yee dijangka menemui penonton pada bulan Mei tahun ini. – SADDAM YUSOFF

Sementara itu, pelakon Adriana Adnan yang memegang watak utama sebagai Sree sangat teruja mendapat tawaran berlakon dalam Emp4t yang menjadi filem pertama lakonannya.

“Ini pertama kali saya memegang watak dalam filem seram. Dari kecil saya minat cerita hantu dan psikopat.

“Saya sangat teruja kerana sebelum ini selalu menonton karya-karya bergenre sebegitu.

“Apa yang lebih menyeronokkan, filem ini tidak klise yang bukan fokus terhadap hubungan cinta, jumpscare atau lonjakan rasa takut sahaja,” ujar pelakon dan juga pengacara itu.

Bagi pemilik nama lengkap Adriana Adnan, 28, itu, banyak ilmu dipelajari dalam filem pertamanya lebih-lebih lagi kebanyakan penggambaran Emp4t dijalankan pada tengah malam.

“Buat masa ini, berlakon dalam filem seram saya rasa cabarannya banyak pakai tenaga untuk jerit dan berlari.

“Hantu dalam filem ini masih lagi manusia yang dirasuk oleh jin jadi ada banyak babak berkejaran.

“Banyak main emosi juga dan semasa menjalani penggambaran alhamdulillah tidak kena rasuk sebab saya banyak membaca ayat Kursi,” jelasnya.

Berbeza dengan pelakon baharu, Alvy Joseph yang memegang watak Erica iaitu seorang wanita periang tetapi psiko, kongsinya, dia mudah menjayakan karakter itu memandangkan ini bukan pertama kali melakukannya.

“Sebelum ini saya pernah melakonkan watak psiko jadi pengalaman sudah ada dan jadi lebih mudah untuk dilakonkan.

“Jadi, cabaran lain menjayakan filem ini adalah dari segi bahasa. Hal ini kerana bahasa Melayu merupakan bahasa ketiga saya.

“Namun, rakan pelakon Syafie Naswip banyak mengajar saya untuk bercakap bahasa Melayu dengan lebih baik.

“Malah kami banyak berlatih secara maya ketika penggambaran yang dijalankan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar 2021,” jelasnya.

Filem seram terbitan Lomo Pictures Sdn. Bhd. tersebut mengisahkan empat sekawan yang mempunyai kelebihan melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

Pelbagai kejadian misteri mula menghantui mereka sehingga ada yang terpaksa berkorban nyawa. Filem Emp4t mula memasuki pawagam bermula sekitar Mei depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`. This does not appear to be a valid RSS or Atom feed.