fbpx
Rusasmizal menunjukkan laktud yang diusahakannya di Kubang Badak, Langkawi.

Laktud lada tarikan baharu pulau legenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI kebanyakan pelancong, kurang lengkap percutian mereka di pulau Langkawi jika tidak memborong coklat import di pulau bebas cukai itu untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.

Rata-rata mereka berbelanja ratusan ringgit, malah ada yang mencecah ribuan bagi membeli coklat pelbagai jenama antarabangsa yang popular.

Tidak mahu tarikan Langkawi sekadar barangan import itu, anak kelahiran pulau legenda, Rusasmizal Mohamad Ghazali, 35, mahu menawarkan satu produk makanan eksotik baharu yang juga boleh dibawa pulang sebagai buah tangan.

“Saya kini mengusahakan ternakan rumpai laut atau dipanggil orang di sini sebagai laktud di Kubang Badak, Langkawi dalam usaha untuk mempelbagaikan lagi produk tarikan pelancong di pulau

ini. Produk ini juga dikenali sebagai latok di tempat-tempat lain di negara ini.

“Selepas ini, pelancong tidak hanya membawa pulang coklat import, malah laktud Langkawi untuk dinikmati bersama keluarga,” katanya ketika ditemui Panorama di pusat ternakan laktud di Kubang Badak.

Menurut Rusasmizal, dia sebelum ini bekerja di sebuah hotel selama 10 tahun sebelum menceburi bidang ternakan laktud lada atau nama saintifiknya Caulerpa lentillifera sejak tiga tahun lalu.

“Sebenarnya idea ‘ternak’ laktud ini adalah daripada seorang pensyarah selepas kami menyelam tengok laktud.

“Beliau beritahu usahakan laktud ini mudah dan akan bantu dari segi ilmu sebelum kami memulakan projek ternakan laktud pada November 2020,” ujarnya yang turut pelajari cara menternak laktud melalui internet.

Katanya, dia bersama tiga lagi rakan kongsi, Mohd. Rashid Hasan, 51, Abu Ramli, 62, dan Sabri Musa, 44, memulakan projek itu dengan hanya menggunakan tiga tangki, namun berdepan cabaran apabila dunia berdepan pandemik Covid-19.

Katanya, pada awalnya, benih laktud adalah dari Jepun dan diperoleh daripada ejen, namun benih digunakan ketika ini dari Thailand.

“Kami tetap teruskan usaha dengan mencuba dan selepas tujuh bulan baru nampak hasilnya sebelum memperoleh geran bantuan Jabatan Perikanan sebanyak RM50,000.

“Dengan dana itulah, baru kami mulakan usaha untuk komersialkan laktud lada ini sehingga hari ini,” katanya sambil memberitahu ia juga merupakan pusat ternakan laktud kedua dalam negara.

Menurutnya lagi, buat masa ini dia mempunyai empat kolam ternakan laktud yang dibina bersebelahan Crab Farm Langkawi iaitu ladang ketam nipah dan restoran makanan laut yang turut diusahakannya secara usaha sama.

“Saya tidak sangka rupa-rupanya permintaan terhadap laktud ini sangat tinggi terutama daripada hotel-hotel mewah di pulau ini. Laktud biasanya digunakan sebagai hiasan pada juadah di restoran di hotel mewah selain banyak digunakan untuk makanan Jepun,” jelasnya.

Sajian laktud cecah sambal kerisik.

Sementara itu, katanya, buat masa ini, dia mampu memperoleh antara 30 hingga 40 kilogram (kg) laktud dalam setiap kolam yang mengandungi empat plat bagi sekali tuaian.

“Kita akan meletakkan benih laktud seberat 2kg pada kepingan plat yang akan menjadi matang dalam masa tiga bulan dengan berat mencecah 18kg.

“Selepas proses memilih laktud dan membersihkannya, kita akan mendapat hasil tuaian kira-kira 10kg bagi sekeping plat itu,” jelasnya.

Katanya, dia akan memastikan hasil tuaian bagi setiap kolam berperingkat bagi memastikan bekalan laktud tidak terputus.

“Harga jualan laktud Langkawi adalah kira-kira RM70 sekilogram,” katanya.

Sementara itu, katanya, proses ternakan laktud tidak mudah kerana memerlukan penjagaan rapi dengan memastikan tahap kemasinan optimum serta nutrien dan cahaya yang mencukupi.

“Kami perlu pastikan nutrien dalam air masin yang diambil dari laut berhampiran mencukupi dan tidak tercemar.

“Selain itu, penjagaan laktud di pusat ternakan ini juga penting yang mana kita perlu pastikan tiada hidupan lain dalam kolam bagi mengelak tumbesaran laktud terjejas kerana nutrien tidak mencukupi,” ujarnya.

Selain itu, kata beliau, laktud juga sensitif kepada bahan asing terutama bahan kimia. Apa sahaja bahan asing termasuk losen akan menyebabkan pertumbuhan laktud ini terbantut.

“Jadi, buat masa ini kami tidak membuka pusat ternakan ini kepada orang ramai kerana bimbang ada pengunjung mencelup tangan ke dalam air kolam selain memasukkan bahan asing lain,” katanya.

Rusasmizal juga menyatakan dia sentiasa berbual dengan rumpai laut itu dan memujinya.

“Saya sembang dan puji laktud sihat dan cantik. Mungkin aura yang menggembirakan itu boleh membantu laktud ini terus segar dan mengeluarkan hasil lebih banyak serta berkualiti,” katanya.

Kata Rusasmizal, beliau bersama rakan kongsi merancang untuk menambah kolam ternakan kepada 40 kolam tidak lama lagi.

“Kami merancang untuk membina bangunan baharu dengan kapasiti kira-kira 120 plat untuk menambah hasil tuaian bagi meluaskan lagi pasaran laktud di Langkawi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN