SEJAK di bangku sekolah, Hanim (bukan nama sebenar) telah menjalinkan hubungan percintaan dengan suaminya yang dikenali sebagai Mirul.
Dia mengakui, dirinya dan suami boleh dikatakan agak liar ketika usia remaja.
“Setelah tamat alam persekolahan, kami masih menjalinkan hubungan antara satu sama lain dan masing-masing memilih untuk terus bekerja.
“Ketika usia masih muda itu, kami berdua telah ditangkap berkhalwat di rumah Mirul,” kongsi Hanim.
Disebabkan peristiwa itu, Hanim menjelaskan, mereka berdua dipaksa berkahwin oleh keluarga masing-masing.
Namun begitu, perkahwinan yang mereka bina itu hanya bertahan selama tiga tahun sebelum masing-masing memilih untuk berpisah.
Mengimbas perkahwinan itu, Hanim yang kini berusia hujung 20-an berkata, pada awal perkahwinan, semuanya baik-baik sahaja sehinggalah suaminya didapati menjalinkan hubungan dengan wanita lain.
“Sebagai seorang isteri, saya kecewa dan marah apabila mengetahui hal tersebut. Suami saya mengakui kesalahannya dan dia berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” jelasnya.
Namun, janji itu hanya tinggal janji dan suaminya masih meneruskan hubungan dengan wanita tersebut di belakang Hanim.
Malah, ada ketikanya mereka akan bergaduh kerana hal-hal tersebut.
Sampai satu masa, ketika bergaduh, suaminya menyatakan bahawa dia menyesal berkahwin di usia muda kerana masih belum puas menikmati hidup dengan sepuasnya.
Sejak dari itu, Hanim mengakui dia sudah tidak mampu lagi untuk menghalang suaminya menjalinkan hubungan dengan wanita lain.
Ini kerana suaminya telah kemaruk bercinta dengan wanita tersebut.
Memikirkan akan hal itu membuatkan hati Hanim terlalu sakit dan dia memilih untuk turut menjalinkan hubungan dengan lelaki lain sebagai cara untuk membalas perbuatan yang dilakukan oleh suaminya itu.
“Melalui media sosial, saya telah berkenalan dengan seorang lelaki.
“Setelah berkenalan, kami masing-masing saling menyukai,” bicaranya.

Hanim bahkan tidak menyembunyikan hal tersebut dan dia membiarkan suaminya mengetahui bahawa dirinya telah mempunyai lelaki lain.
Setelah mengetahui hal tersebut, berlaku pertengkaran antara mereka berdua dan Hanim menjelaskan, dia juga boleh berlaku curang dengan orang lain jika suaminya itu boleh melakukan perkara yang sama.
Sejak dari itu, mereka sudah tidak tinggal sebumbung lagi dan Hanim memilih untuk tinggal bersama orang tuanya.
Tidak lama selepas itu, teman lelaki itu mengajak Hanim untuk menjalinkan hubungan secara lebih serius.
Tanpa berfikir panjang, Hanim bersetuju dan dia sendiri dapat merasakan hubungan dengan suaminya mungkin tidak dapat dipulihkan kembali.
Akhirnya, Hanim bertemu dengan suaminya untuk minta dilepaskan agar dia boleh membina kehidupan dengan lelaki yang dikenalinya itu.
Suaminya itu bersetuju untuk melepaskan Hanim kerana dia juga berhasrat untuk berkahwin dengan wanita lain.
Mereka berdua akhirnya sah bercerai di sebuah mahkamah di utara Semenanjung.
Kini, Hanim telah pun berkahwin dengan lelaki yang dikenalinya itu dan dia berasa bahagia serta lebih dihargai berbanding dengan suami lamanya.














