fbpx

Malaysia alukan kesediaan Jerman untuk bekerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar bersama Steinmeier ketika hadir pada sidang akhbar sempena lawatan rasmi Presiden Jerman di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya tadi.- foto : FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Malaysia mengalu-alukan kesediaan Jerman untuk bekerjasama dalam bidang biodiversiti, ekologi dan isu perubahan iklim serta akan memulakan usaha sama itu dengan memfokuskan kepada sektor tenaga juga pengurusan bahan buangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat kerjasama itu telah disuarakan Presiden German, Frank-Walter Steinmeier dalam sesi diskusi empat mata yang turut menyentuh beberapa isu lain.

“Saya amat berpuas hati dengan perbincangan kami yang turut menyentuh beberapa isu lain dan saya berharap lawatan beliau (Steinmeier) ke Sarawak esok akan membuka lebih banyak peluang untuk bekerjasama dalam bidang biodiversiti termasuk bidang-bidang lain yang akan memanfaatkan kedua belah pihak.

“Perbincangan turut menyentuh tentang konflik Rusia-Ukraine di mana Malaysia juga turut terkesan namun Malaysia kekal komited dengan prinsip kedaulatan, integriti wilayah, peraturan perundangan dan menolak kekerasan,” katanya pada sidang akhbar bersama di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Menurut Anwar, sehubungan itu, beliau dan Steinmeier berkongsi pandangan bahawa perbincangan secara aman di antara kedua-dua negara tersebut mampu menyumbang kepada penyelesaian konflik dalam masa terdekat.

Pada masa sama, Anwar berkata, Petronas sebagai salah satu pembekal gas asli cecair (LNG) di Asia Tenggara kini secara aktif membekalkan kargo LNG kepada United Kingdom (UK) dan Eropah.

“Petronas telah menyatakan hasrat untuk mengembangkan eksport LNG ke German dan saya telah menyampaikan perkara itu kepada Presiden Steinmeier untuk melakukan apa yang beliau mampu untuk merancakkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar menyatakan beliau berbesar hati dengan hasil lawatan negara oleh Steinmeier dan berharap akan ada lebih banyak kunjungan dari German yang akan meningkatkan hubungan, ekonomi dan perdagangan memanfaatkan bagi kedua negara.

Terdahulu, Steinmeir tiba di Bangunan Perdana Putra pada pukul 5.15 petang bagi mengadakan pertemuan rasmi dengan Anwar sebelum kedua-duanya menyertai sidang akhbar secara bersama dengan media tempatan dan antarabangsa.

Menerusi lawatan selama tiga hari itu, Steinmeier juga diberikan sambutan negara di pekarangan Bangunan Parlimen pagi tadi selain turut dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Jerman merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU) di mana pada 2022, nilai pendapatan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 10.9 peratus dengan jumlah RM59.87 bilion berbanding RM53.99 bilion pada 2021.

Untuk rekod, lawatan negara terakhir melibatkan presiden Jerman ke Malaysia ialah 26 tahun lepas iaitu pada April 1997. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI