fbpx

DBKL tawar wang RM20,000 pertandingan pancing Ahad ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Azmir (dua dari kanan) bersama para pegawai DBKL ketika melepaskan spesis patin untuk Cabaran Joran Kuala Lumpur, Ahad ini.

PETALING JAYA – Hadiah wang tunai RM20,000 menanti peserta Cabaran Joran Kuala Lumpur pada 19 Februari (Ahad) ini, bertempat di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur.

Bertemakan ‘Wilayah Persekutuan Untuk Semua’, program anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dijangka disertai sekitar 700 peserta.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Azmir Ahmad berkata, Taman Tasik Ampang Hilir menjadi pilihan kerana keunikannya selain dihuni pelbagai spesies ikan termasuk patin, tongsan dan toman seberat 10 hingga 28 kilogram.

“Tasik ni jadi sebutan kaki pancing dalam pertandingan sebelumnya tambahan spesis patin seberat 28 kilogram pernah dinaikkan peserta.

“Selepas empat tahun, pertandingan ini kembali dan tidak akan hampakan peserta,” katanya ketika melepaskan lebih 500 kilogram ikan pelbagai spesies di tasik itu antaranya patin seberat dua hingga tiga kilogram, hari ini.

Selain memancing Khairul Azmir berkata, DBKL bermatlamat menggalakkan pelancongan domestik melibatkan kehadiran pelancong dari luar ke Kuala Lumpur amnya.

“Peserta dan orang ramai juga berpeluang beriadah serta menikmati keindahan kawasan tasik bersama keluarga.

“Diharapkan melalui program ini dapat kita tingkatkan promosi pelancongan domestik sebagai usaha merancakkan lagi ekonomi negara,” jelasnya.

Menurutnya lagi, yuran RM50 dikenakan untuk sebatang joran dan 500 penyertaan awal akan menerima kemeja-T sumbangan penaja.

“Juara pertandingan akan bawa pulang wang tunai RM5,000, naib juara (RM2,000), ketiga (RM1,000), keempat hingga ke-10 (RM200), ke-11 hingga 20 (RM150) dan tempat ke-21 hingga 100 (RM100 setiap seorang).

“Hadiah khas untuk pemenang ikan keli turut disediakan sehingga tempat kelima serta hadiah cabutan bertuah antaranya dua unit televisyen 32 inci serta barangan peralatan memancing,” jelasnya.

“Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan Sabtu ini mulai pukul 3 petang hingga 9 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Pertanyaan lanjut berkaitan pertandingan ini, orang ramai boleh menghubungi urus setia di talian 013-2661077, 013-3052811 atau 012-2846811 atau layari laman sosial facebook.com/jorankl. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI