fbpx

EV mampu milik tiga, empat tahun lagi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga model EV yang dipamerkan kepada pengunjung bersempena Persidangan EV di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia mungkin perlu menunggu sekitar tiga hingga empat tahun lagi sebelum dapat menyaksikan kehadiran kenderaan elektrik (EV) yang bersifat lebih mampu milik di pasaran tempatan.

Pengarah Kanan Pembangunan Industri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hanafi Sakri berkata, pihaknya melihat pengeluar kenderaan tempatan seperti Proton dan Perodua bakal membawakan model EV yang lebih mampu milik untuk rakyat.

Mengakui pasaran EV kini sememangnya di dominasi oleh kenderaan mahal yang tidak mampu dimiliki oleh sebahagian besar daripada populasi, beliau menjelaskan secara dalaman memang ada perbincangan dengan pengeluar tempatan berhubung hal berkenaan.

“Kami menjangkakan mereka akan membawa kertas cadangan kepada kami dan dari situ, kami akan lihat bagaimana untuk membantu.

“Harapnya dalam tempoh tiga hingga empat tahun, hal ini dapat direalisasikan. Tanpa model yang mampu milik, saya berpandangan kita tidak akan mampu beralih daripada kenderaan yang menggunakan enjin pembakaran dalaman kepada EV,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Persidangan EV yang diadakan semalam.

Berdasarkan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030, Malaysia menyasarkan jualan kenderaan dielekrifikasi, termasuk hibrid mencapai sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) menjelang 2030, sebelum mencapai paras 38 peratus pada 2040.

Menjelang 2025, kerajaan menyasarkan untuk menyediakan 10,000 fasiliti pengecasan EV, dengan 10 peratus daripadanya adalah daripada jenis arus terus yang mampu memberikan kadar pengecasan yang lebih pantas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, ­Roslan Abdullah ketika sesi perbincangan panel mengenai daya saing pasaran pembangunan EV di Malaysia berkata, pihaknya bakal melancarkan EV pertamanya melalui jenama Smart menjelang suku keempat tahun ini.

“Bagi menjadikan model ini kompetitif bersaing di pasaran, perkara paling penting yang difokuskan dalam kumpulan kami ialah daripada segi harga.
“Selain itu, terdapat juga faktor lain seperti ciri-ciri dan perkhidmatan yang boleh kami tawarkan kepada pelanggan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI