fbpx

KBS kecam bekas pemain rasis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH mengecam sekeras-kerasnya tindakan Guang Yik yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan menyentuh sentimen keagamaan.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang mahu menggugat keharmonian dalam negara menerusi kenyataan berbaur perkauman.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengecam tindakan bekas pemain badminton kebangsaan, Bong Guang Yik yang menyentuh sentimen kaum dan agama atas kegagalan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut tetap dengan pendirian untuk tidak berlembut berhubung isu panas tersebut meskipun Guang Yik yang berpangkalan di China dilaporkan sudah memohon maaf.

“Saya sudah semak dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia), beliau bukan lagi atlet negara dan merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014 dan kini tidak menetap di Malaysia.

“Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau sudah meminta maaf,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Hannah turut menjelaskan, tuduhan yang dibuat Guang Yik tidak berasas memandangkan aktiviti-aktiviti ibadat dalam agama tidak pernah menjadi penghalang untuk setiap atlet melakar kejayaan.

“Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu pres­tasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia. Saya ulangi pendirian, sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik.

“Semua atlet negara merupakan sumber inspirasi kepada masyarakat dan dinasihati berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing,” tambah beliau.

Terdahulu, arena sukan negara gempar apabila Guang Yik memuat naik video di laman sosial dengan mendakwa prestasi pemain-pemain kebangsaan merosot kerana pengurusan tertinggi BAM diterajui orang Melayu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI