fbpx

Dua anggota JPJ didakwa rasuah rakan, lepaskan lori lebih muatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEGAWAI SPRM mengiringi tertuduh yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - foto: SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberikan suapan berjumlah RM7,850 kepada anggota lain untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori lebih muatan.

Tertuduh, Mohd. Rafi Abd. Rahman, 59, dan Che Fadzlie Izwan Che Johari, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Rafi yang berdepan enam pertuduhan didakwa memberikan suapan RM600 bagi tempoh enam bulan kepada seorang pemeriksa kereta motor Gred AB29 di JPJ Melaka sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang mempunyai pelekat Pepsi atau Saudagar atas kesalahan melebihi muatan.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan parkir kereta JPJ Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah antara 1 Julai 2018 hingga 31 Disember 2018.

Sementara itu, Che Fadzlie Izwan berdepan lapan pertuduhan membabitkan jumlah suapan antara RM400 hingga RM900 kepada tiga individu berbeza di JPJ Melaka sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan sama.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan parkir dan Bahagian Penguatkuasaan di JPJ Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah antara 1 Januari 2019 hingga 30 April 2020.

Sabit kesalahan kesemua tertuduh boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 seorang dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mohd. Rafi diarahkan melapor diri di Pejabat SPRM Melaka sementara Che Fadzlie Izwan di Pejabat SPRM Seremban, Negeri Sembilan pada setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 10 April sebagai tarikh sebutan semula kes. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI