fbpx

Pencarian komando lemas dihentikan, gagal temui petunjuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketika Operasi SAR Lans Koperal Edrin.

MELAKA – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota Tentera Darat, Lans Koperal Edrin Baitim, 25, yang dikhuatiri lemas ketika melakukan latihan selam di perairan Pulau Undan, di sini dihentikan selepas tujuh hari pencarian.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, keputusan penangguhan itu dibuat selepas pasukan penyelamat gagal menemui sebarang menunjukkan tanda-tanda penemuan baru.

Ujarnya, pelbagai usaha lain juga dilakukan termasuk penggunaan sonar oleh Tim Ukur Medan dari Cawangan Operasi dan Persempadan, Pusat Hidrografi Nasional (PHN) bagi mengesan objek di dalam air setelah pencarian di permukaan air tidak memberikan apa-apa petunjuk.

“Pencarian ini telah dibantu oleh anggota Pasukan Selam Peperangan Khusus dari Kem Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Kem Sungai Udang, Melaka, Pasukan Selam Ranjau, KD Duyong dan juga Pasukan Penyelam Penyelamat Angkatan Pertahanan Awam (APM), namun tiada penemuan walaupun selaman dilakukan lebih dari 40 meter.

“Pusat Penyelarasan Carilamat Maritim (MRCC) Putrajaya turut mendapatkan bantuan dari Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Indonesia kerana berdasarkan data dan maklumat terdapat kemungkinan mangsa telah dihanyutkan ke perairan negara jiran.

“Operasi ini ditangguhkan, namun aset-aset Maritim dan agensi sahabat akan meneruskan rutin rondaan seperti biasa dan pihak akan memberi makluman dari semasa ke semasa sekiranya terdapat petunjuk atau penemuan terbaru,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, tadi.

Katanya, pihak Maritim mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, APM dan komuniti nelayan atas maklumat dan kerjasama yang baik sepanjang tempoh pencarian ini.

Ujarnya, jumlah keseluruhan penglibatan dari hari pertama SAR diaktifkan adalah seramai 510 anggota dan sebanyak 22 aset telah diatur gerak terdiri daripada 18 aset di laut dan 4 aset di udara dengan luas sektor pencarian lebih kurang 1,040 kilometer persegi.

Kosmo! pada 7 Februari lalu melaporkan seorang anggota Tentera Darat daripada Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando Kem Iskandar Mersing, Johor dikhuatiri lemas ketika sedang menjalani latihan Eksesais Pari Harimau kursus juruselam di kedudukan 0.7 batu nautika Barat Daya Pulau Undan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, turut bersama mangsa adalah enam pegawai dan 37 anggota lain-lain pangkat dari Pulpak Sungau Udang, Melaka.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI