fbpx

5 lelaki ‘geng’ samun kedai serbaneka diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barang yang dirampas (kiri) dan salah seorang suspek yang melakukan samun di sebuah serbaneka di Kuala Lumpur (kanan).

AMPANG – Lima lelaki disyaki terlibat kes samun bersenjata sejak sebulan lepas akhirnya berjaya diberkas selepas ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, penahanan itu dibuat susulan kejadian samun di sebuah premis serbaneka 24 jam di Taman Keramat Permai, Ampang pada 29 Januari lalu.

Ujarnya, kira-kira pukul 5.15 petang semalam, sepasukan polis dari Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ampang Jaya telah membuat beberapa siri tangkapan di sekitar Kuala Lumpur.

“Susulan itu kami berjaya menangkap lima orang lelaki warganegara tempatan berusia 20 hingga 30 tahun dalam empat siri serbuan di kawasan Wangsa Maju dan Pudu.

“Suspek ada yang bekerja sebagai pembantu kedai dan ada yang menganggur. Modus operandi suspek adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan mensasarkan kedai serbaneka 24 jam.

“Hasil dari kegiatan berkenaan dibahagikan antara suspek untuk kegunaan perbelanjaan harian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, pihak polis juga berjaya membongkar dua lagi kes samun kedai serbeneka di Kuala Lumpur yang dilakukan oleh suspek dan soal siasat masih dijalankan untuk mengenalpasti kes-kes tersebut.

Katanya lagi, kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah.

Dalam pada itu, antara barang yang berjaya dirampas adalah sebuah kereta Perodua Kelisa, beberapa buah telefon bimbit, dan pelbagai pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

Barang lain yang turut dirampas adalah beberapa keping sim kad prabayar, pelbagai unit pemetik api, dua kotak rokok pelbagai jenama, dua pasang gari berserta kunci gari, sebilah pedang, satu beg warna kuning dan wang tunai RM300.

Kesemua suspek dibawa ke hadapan Majistret Ampang untuk permohonan reman pada pagi ini dan telah dibenarkan reman selama tujuh hari sehingga 18 Februari.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh diseksa sehingga 20 tahun dan sebat.

Mohamad Farouk juga memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI