fbpx
Biarpun tidak ada masalah di antara mereka, suami Amira terpaksa akur menceraikan Amira atas desakan ibunya hanya kerana Amira tidak pandai memasak. – GAMBAR HIASAN

Dibenci mentua kerana tidak pandai masak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAKAL menantu perempuan yang bukan hanya cantik, sebaliknya lengkap dengan pakej pandai memasak serta mengambil hati merupakan impian semua yang bergelar mentua.

Tidak sekadar manis dipandang, wanita yang mempunyai kelebihan lain itu turut dipandang tinggi selain disayangi keluarga sebelah suami.

Kadangkala dek kerana kekurangan dalam diri dan tidak memenuhi spesifikasi serta kehendak mentua turut boleh membawa kepada kemusnahan rumah tangga yang telah sekian lama dibina.

Hal seperti itulah yang dilalui Amira (bukan nama sebenar) apabila bahtera rumah tangga yang dilayari hampir lima tahun musnah berkecai angkara keluarga mentua.

Menurut Amira yang juga merupakan kerani pentadbiran di salah sebuah sekolah rendah di Kuantan, Pahang, mahligai perkahwinan yang dibina dengan suaminya tercipta atas dasar cinta di antara mereka.

“Saya kenal dengan suami, Ubai (bukan nama sebenar) ketika kami sama-sama belajar dan menuntut di sebuah kolej swasta di ibu kota.

“Hampir empat tahun mengenali hati budi masing-masing, kami merancang untuk ke fasa seterusnya dengan mengikat tali pertunangan pada tahun pertama kami bekerja usai tamat pengajian.

“Dari situ, kami mula mengenali keluarga masing-masing dan perancangan untuk berumah tangga juga dipermudahkan Allah sehinggalah kami disatukan,” ujarnya memulakan butir kata.

Ceritanya, sebaik bernikah, semuanya bagai di dalam syurga dan dia tampak diterima baik seluruh keluarga sebelah suaminya termasuk ibu mentuanya.

Tambah Amira, ibu mentuanya yang merupakan pesara kerajaan dan bersifat tegas juga menerima kehadirannya sebagai menantu dengan hati terbuka walaupun bukan atas pilihannya sendiri.

Cumanya, ujar ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, sikap tegas dan cerewet ibu mentuanya itu kadangkala membuatkan dirinya sedikit terasa.

“Nama pun ibu kan, jadi ada kalanya kata-kata yang keluar dari mulut dia mampu membuatkan saya dan menantu lain juga terasa walaupun bukan dalam keadaan marah.

“Ibu juga jenis yang suka memasak di rumah dan jarang makan di luar serta gemar meminta anak menantunya untuk masak dan makan beramai-ramai di rumah miliknya yang kami tinggal sekarang ini,” katanya.

Amira kecewa apablla masakannya sentiasa tidak kena dengan selera ibu mentuanya.
– GAMBAR HIASAN

Akui Amira lagi, dia memang tidak begitu pandai memasak sejak usia remaja, namun berusaha untuk melakukan kerja-kerja tersebut dengan mempelajarinya perlahan-lahan.

Katanya lagi, apabila berkahwin, ibu mentuanya ada bertanya kepadanya selain menyuruh dirinya yang tinggal di rumah sama untuk menyiapkan juadah makan malam buat keluarga.

“Jujur kata, saya memang jarang ke dapur dan tidak begitu pandai memasak. Namun, selepas bertunang dengan Ubai, saya mula masuk ke dapur dan belajar memasak dengan ibu serta kakak.

“Jadi, ada beberapa menu ringkas yang sempat dan boleh saya masak tetapi rasanya tidaklah begitu sedap seperti mereka yang pandai memasak,” katanya.

Meneruskan cerita, Amira juga mengakui dia kerap ditegur ibu mentuanya kerana tidak begitu pandai memasak, selain masakannya dikatakan langsung tidak memenuhi cita rasa dan ‘tekaknya’.

Lebih menyedihkan, ibu mentuanya itu selalu membanding-bandingkan masakannya dengan menantu perempuan lain selain kerap menyindirnya hanya kerana rasa makanan.

“Ketika mula-mula jadi begitu, saya masih boleh terima lagi, tetapi lama- kelamaan saya mula jadi bosan, malu dan kecewa dengan sikap ibu mentua.

“Saya rasa semakin hari semakin tidak boleh duduk di rumah itu dan ada hasrat untuk mengajak suami berpindah ke tempat lain.

“Namun, angan-angan saya itu terpaksa dilenyapkan kerana suami ada memberitahu ibunya pernah melarang mana-mana anak yang tinggal bersamanya untuk keluar dari rumah pusaka tersebut,” katanya.

Jelas Amira lagi, semakin lama perkara tersebut menjadi beban dan tidak seronok untuknya terus berada di rumah tersebut.

“Saya juga pernah terdengar perbualan ibu mentua dengan suami yang meminta anaknya itu melepaskan saya secara baik, tetapi suami bertegas tidak mahu melepaskan saya kerana tiada apa-apa masalah yang berlaku dalam rumah tangga mereka apatah lagi hubungan sebagai suami isteri.

“Isunya tidak lain tidak bukan hanya kerana saya yang tidak begitu pandai memasak dan tidak memenuhi kriterianya. Dia (ibu mentua) juga langsung tidak pernah mengajar memasak dan hanya tahu mengarah sahaja,” katanya.

Berbulan-bulan berlalu dan dihimpit penuh tekanan oleh seorang ibu mentua yang benar-benar menguji keimanan serta kesabaran, akhirnya semuanya ternoktah.

“Saya masih ingat, suami berjumpa dengan saya dan terpaksa meluahkan perkara sebenar yang terpaksa dilakukan tanpa relanya.

“Akhirnya saya dilepaskan dengan talak satu disebabkan permintaan dan desakan ibu kandung suami yang memberi alasan saya bukanlah menantu pilihan kerana tidak pandai memasak sepertinya.

“Saya reda dengan ujian yang menimpa dan langsung tidak marahkan suami kerana ‘taat’ dengan syurganya yang mahukan terbaik buatnya.

“Kedua-dua anak juga menjadi hak milik dan tanggungjawab saya, namun suami juga tidak pernah melepaskan tanggungjawab dan nafkah kepada anak-anak,” tuturnya pilu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN