fbpx

Gempa bumi Turkiye: Erdogan berdepan cabaran sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Erdogan (tengah) melambai ke arah pemberita ketika melawat sebuah lokasi yang terjejas dengan gempa bumi di Kahramanmaras, kelmarin. - AFP

ANKARA – Menjelang tiga bulan sebelum pilihan raya berlangsung, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berdepan situasi sukar apabila gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter menggegarkan negaranya dan Syria sekali gus mengorbankan lebih 16,000 orang setakat petang semalam.

Justeru, pertaruhan Erdogan untuk mengekalkan jawatan presiden mungkin menjadi lebih sukar.

Pada 14 Mei depan, rakyat Turkiye dijadualkan mengundi dalam pilihan raya Presiden dan Parlimen. Namun, tinjauan yang dijalankan sebelum gempa bumi berlaku menunjukkan ia akan menjadi perlumbaan sengit untuk Erdogan setelah beliau memimpin negara itu sejak 2003.

Bahkan sebelum bencana tersebut berlaku pada waktu sebelum subuh Isnin lalu, beliau cuba memadamkan beberapa siri krisis yang terjadi pada masa sama.

Pendekatan ekonomi Erdogan yang tidak konvensional telah mencetuskan lingkaran inflasi yang menyaksikan harga pengguna melonjak sebanyak 85 peratus dalam penggal tahunan pada tahun lepas.

Pada masa sama, kerajaan Erdogan turut menepis tuduhan kronisme, rasuah dan cara beliau menangani bencana alam sekitar termasuk kebakaran hutan pada 2021.

Beberapa jam selepas gempa bumi melanda, Erdogan menjadi tumpuan utama di Ankara dengan mengadakan satu daripada banyak sidang akhbar yang menyusuli dalam tempoh beberapa hari berikutnya.

Kelmarin, beliau memeluk seorang wanita yang menangis kerana mengadu mengenai kehidupannya yang terjejas akibat gempa bumi di wilayah Kahramanmaras sebelum melawat Hatay.

Erdogan bahkan mengakui terdapat kekurangan dalam pentadbiran kerajaannya ketika menghadapi bencana tersebut semasa melakukan lawatan di Hatay.

Erdogan berkata, beliau masih ingat bagaimana bencana gempa bumi pada 1999 adalah yang terbesar sebelum Isnin lalu, sehingga menjadikan partinya memperoleh kemenangan pada 2002 selepas menjanjikan tadbir urus yang lebih baik.

Perdana menteri ketika itu, Bulent Ecevit mendapat kritikan hebat kerana mengganggu usaha bantuan semasa bencana tersebut pada 1999.

Selepas gempa bumi terbaharu melanda, Turkiye dengan pantas mengisytiharkan darurat tahap empat yang memerlukan bantuan antarabangsa dengan sokongan daripada berpuluh-puluh negara termasuk seteru serantau.

Pakar-pakar berkata, Erdogan boleh mengukuhkan kedudukannya jika beliau menguruskan krisis dengan baik tetapi kegagalan boleh menyebabkan beliau menderita dan mengalami nasib sama dengan Ecevit.

Seorang pakar, dari firma perunding risiko politik digelar Teneo, Wolfango Piccoli  berkata: “Gempa bumi berskala besar  yang melanda 10 wilayah di selatan negara itu akan memberi cabaran besar kepada kerajaan.

Felo penyelidik dari Pusat Polisi Luar yang berpangkalan di Britain, Emre Caliskan pula berkata, jika tindak balas selepas gempa bumi tidak berjaya, Erdogan boleh kalah dalam pilihan raya pada bulan Mei.

Dalam pada itu, kekecewaan semakin memuncak di selatan Turkiye dengan ramai keluarga miskin mengecam kerajaan kerana gagal membantu mereka dan menyelamatkan orang tersayang daripada runtuhan akibat gempa bumi itu.

Seorang penganalisis, Gonul Tol, yang berada di Turkiye ketika gempa bumi dan kehilangan saudara-mara dalam tragedi itu berkata, kemarahan dapat dirasai di Hatay, salah satu wilayah yang paling teruk terjejas.

“Saya tidak dapat bayangkan jika beliau (Erdogan) tidak terkesan dengan perkara ini melihatkan tahap kekecewaan (mangsa-mangsa gempa bumi). Saya melihat kemarahan itu secara langsung. Saya pasti ia akan memberi impak,” kata Tol yang merupakan Pengarah Program Turkiye di Institut Asia Barat yang berpangkalan di Amerika Syarikat. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI