fbpx

MRCC minta bantuan Basarnas kesan komando lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBANYAK 18 aset diatur gerak ke lokasi pencarian Lans Koperal Edrin yang dikhuatiri lemas sejak Selasa lalu. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota Tentera Darat, Lans Koperal Edrin Daintin, 25, yang dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan pada Selasa lalu disambung semula pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, operasi itu dimulakan pada pukul 7 pagi meliputi kawasan pencarian seluas 1,040 kilometer persegi.

Menurut beliau, sebanyak 18 aset telah diatur gerak ke lokasi merangkumi 15 aset laut dan tiga aset udara dengan kekuatan anggota seramai 175 orang terdiri daripada pelbagai agensi.

“Kawasan pencarian dipecahkan kepada lapan sektor bagi aset di laut dan dua sektor untuk aset di udara bagi memudahkan kerja-kerja pencarian.

“Pangkalan hadapan carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Pulau Besar dengan penglibatan daripada agensi-agensi sahabat iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Iskandar berkata, Pusat Penyelarasan Carilamat Maritim (MRCC) Putrajaya telah memaklumkan kepada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia bagi membantu operasi tersebut.

Katanya, terdapat kemungkinan mangsa telah dihanyutkan ke perairan Indonesia berdasarkan data dan maklumat Search and Rescue Optimal Planning System (SAROPS).

Kelmarin, Kosmo! melaporkan seorang anggota Tentera Darat dipercayai daripada Rejimen Gerak Khas (komando) dikhuatiri lemas ketika sedang menjalani latihan Eksesais Pari Harimau kursus juruselam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI