fbpx

7 maut Genting: ‘Ini kali pertama ibu naik van ke Genting Highlands’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli keluarga mangsa-mangsa yang cedera mula berkumpul sejak pukul 7 malam tadi.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur mula dibanjiri ahli keluarga mangsa kemalangan yang meragut tujuh nyawa di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands.

Mereka tiba di jabatan itu secara berperingkat sejak pukul 7 malam tadi.

Anak mangsa terselamat yang mahu dikenali sebagai En, 26, berkata, dia mengetahui ibunya melancong ke pusat peranginan tersebut semalam.

En yang bekerja di Kuala Lumpur memberitahu, ibunya yang berusia 72 tahun sememangnya gemar melancong bersama kawan-kawannya sejak dahulu lagi.

“Ini bukan kali pertama ibu saya pergi Genting Highlands. Sudah banyak kali sebelum ini, tetapi dia dan rakan-rakan akan menaiki bas.

“Namun ini kali pertama mereka menyewa van pelancongan persendirian untuk ke sana. Jadi kami (ahli keluarga) memang tidak tahu.

“Salah seorang kawan ibu ada memberitahu, ketika kejadian van dipandu dengan laju tanpa menekan brek,” katanya ketika ditemui Kosmo! disini, hari ini.

Jelas anak bongsu daripada lima adik-beradik itu, dia bersyukur kerana ibunya terselamat walaupun retak tulang di bahagian dada.

Tambahnya, ibunya masih boleh bercakap dan mengenali anak-anak yang datang melawat di hospital dan mereka sekeluarga sedang menunggu pakar tulang untuk memberikan rawatan lanjut.

Terdahulu Kosmo! melaporkan tujuh maut selepas van dinaiki mereka terbabas dan melanggar penghadang jalan ketika turun dari Genting Highlands di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands di sini hari ini.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kejadian yang terjadi kira-kira pukul 1.15 tengah hari melibatkan 15 orang penumpang yang sedang dalam perjalanan turun dari Genting Highlands. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI