fbpx
Menerusi Inisiatif ‘Karama’, para pelarian Rohingya turut diajar dengan kemahiran menjahit.

Fokus bangunkan wanita pelarian untuk komuniti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIBANYA di sebuah penempatan pelarian di Selayang, Selangor, kelihatan sekumpulan kanak-kanak berlari ke arah beberapa wanita tempatan yang baru keluar dari kenderaan.

Kumpulan wanita itu turut menyambut mereka dengan gembira sambil menuju ke kawasan berbumbung untuk meletakkan barang-barang yang dibawa bersama.

Hubungan antara kumpulan wanita dan kanak-kanak itu kelihatan sudah tidak asing, malah ibu bapa mereka turut datang menyapa dengan senyuman.

Salah seorang ibu kepada kanak-kanak tersebut, Mibuna Khatoon, 40, memberitahu bahawa kumpulan wanita tersebut telah dianggap keluarga oleh anak-anak mereka.

“Kumpulan wanita ini sudah biasa datang dan membawa bantuan kepada kami (pelarian Rohingnya) yang tinggal di sini.

“Kedatangan mereka bukan sekadar memberi pelbagai bentuk bantuan tetapi turut meluangkan masa dengan kami dan mengambil tahu tentang keadaan penduduk di sini ,” katanya yang sudah tinggal di Malaysia selama lima tahun kepada K2.

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu, kumpulan wanita yang bergerak di bawah organisasi bukan kerajaan (NGO), Women For Refugees (WFR) itu juga mengajar mereka pelbagai perkara yang diperlukan untuk kelangsungan hidup di negara orang.

“Kami di sini turut diajar bahasa Melayu dengan kumpulan ini, sebelum ini kami sukar juga berkomunikasi kerana kekangan bahasa,” katanya.

WFR merupakan sebuah badan NGO ditubuhkan pada tahun 2020 yang diasaskan oleh wanita tempatan, Davina Devarajan, 27, bersama beberapa rakannya.

Penubuhan WFR merupakan respons kepada nasib kehidupan pelarian khususnya Rohingya di Malaysia yang terpinggir dan juga terjejas teruk semasa pandemik Covid-19.

Menurut Davina, WFR ditubuhkan selepas acap kali dia menerima pelbagai aduan daripada golongan pelarian yang pernah dibantu semasa menjadi sukarelawan dengan organisasi lain.

“Saya sudah biasa dengan kerja-kerja sukarelawan dan menyertai pelbagai program NGO yang melibatkan golongan pelarian. Di situ saya bertemu ramai golongan pelarian yang banyak berkongsi masalah yang mereka hadapi sepanjang tinggal di sini.

“Hal tersebut mencetuskan ilham saya untuk menubuhkan WFR yang mana memfokuskan untuk memberi bantuan dan memperkasa golongan pelarian khususnya wanita untuk membangunkan komuniti pelarian itu sendiri,” kata gadis asal Kuala Lumpur itu.

Tambahnya, seiring dengan slogan WFR, ‘Wanita Pelarian Untuk Komuniti Pelarian’ pihaknya telah melaksanakan pelbagai program buat komuniti pelarian di sekitar Selayang sebagai usaha memberikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka.

Antara program yang dilaksanakan adalah pengagihan bantuan makanan dan perubatan, mengajar kemahiran bahasa serta aktiviti yang boleh membantu mereka keluar daripada lingkungan kemiskinan.

Penduduk pelarian Rohingya turut diberikan bantuan barangan makanan oleh WFR.

Salah satunya adalah Inisiatif ‘Karama’ yang mana golongan wanita Rohingnya dilatih beberapa kemahiran asas yang boleh membantu mereka untuk menjana pendapatan keluarga.

“Setakat ini WFR telah turun padang ke empat komuniti di sekitar Selayang dengan anggaran 200 hingga 400 penduduk setiap satu dan mereka berdepan dengan masalah sama iaitu isu kemiskinan dan akses untuk keperluan asas.

“WFR memfokuskan bantuan untuk memenuhi keperluan ini, kita mengajar mereka supaya boleh memahami bahasa Melayu serta Inggeris seterusnya kemahiran seperti menjahit dan sebagainya,” ujarnya.

Kongsi Davina lagi, meskipun pelarian bukanlah warganegara Malaysia, tetapi mereka juga adalah manusia biasa yang berdepan dengan masa sukar dan terpaksa hidup di negara orang untuk meneruskan hidup.

Oleh yang demikian, Davina bersama 10 sukarelawan tetap dan 80 separuh masa terdiri daripada wanita dan lelaki sentiasa prihatin serta melaksanakan pelbagai program yang boleh memberi impak bukan sahaja jangka pendek tetapi membantu mereka sepanjang berada di Malaysia.

Semangat yang dibawa oleh WFR turut didukung oleh salah seorang sukarelawannya, Anusha Rym, 27, yang menyertai organisasi itu setelah kagum melihat usaha dijalankan kumpulan itu.

Katanya, dia menyertai WFR sekitar hujung 2021 dan kerap mengikuti program dianjurkan NGO tersebut di sekitar Selayang.

“Saya mengikuti perkembangan Davina memulakan WFR pada tahun 2020 semasa pandemik. Gerak kerjanya dengan komuniti pelarian benar-benar memberi inspirasi kepada saya untuk mengikut jejak langkahnya membantu komuniti terpinggir secara langsung.

“Penglibatan saya dalam WFR bukan sekadar sukarelawan sepenuh masa tetapi turut membantu dalam hal ehwal pengurusan serta pembangunan organisasi tersebut untuk memperluas usaha bagi membantu golongan pelarian,” katanya yang juga merupakan pelajar Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Tambahnya, menyertai WFR telah membuka matanya terhadap realiti kehidupan manusia terutama pelarian yang mana meskipun mereka hidup susah tetapi golongan ini tetap bersemangat merubah hidup mereka.

Kongsi anak sulung daripada dua beradik itu, selain itu, dia turut mempelajari banyak ilmu baharu bukan sahaja dalam menguruskan WFR tetapi semasa bersama keluarga-keluarga pelarian yang turut berkongsi tentang budaya serta adat resam mereka.

“Kita tidak akan dapat tahu apa yang berlaku kepada masyarakat, jika kita tidak turun padang dan melihat sendiri keadaan mereka. Golongan pelarian merupakan antara kelompok yang kurang bernasib baik dan perlu diberi perhatian.

“WFR melihat bantuan buat mereka dari sudut keperluan, kadangkala mereka bukan mahukan bantuan yang tidak putus-putus tetapi satu platform untuk mereka memperbaiki dan membangunkan taraf kehidupan keluarga serta komuniti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN