fbpx

Isteri harus proaktif buktikan kecurangan suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR, WARTAWAN EKSEKUTIF

Ketabahan pelakon, Puteri Sarah berhadapan konflik rumah tangga sejak 2019 merupakan satu kisah yang mendatangkan perasaan kagum dalam kalangan rakyat negara ini.

Apa yang dilaluinya disifatkan segelintir wanita lebih-lebih lagi golongan isteri sebagai suatu yang luar biasa.

Rata-rata golongan itu meluahkan di ruangan komen media sosial setiap kali berita mengenai Puteri Sarah diterbitkan adalah mereka tidak sanggup berhadapan isu tersebut.

Bagi mereka, jalan yang hampir pasti diambil dalam keadaan tersebut adalah meninggalkan sahaja suami yang ternyata tidak lagi mahu menjalani kehidupan bersama-sama.

Bahkan, ada dalam kalangan mereka mengakui telah berhadapan dengan masalah serupa yang mana ia menyebabkan kesihatan mental masing-masing terjejas.

Menurut pakar kekeluargaan yang juga Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia (PPPM), Prof. Dr. Fatimah Daud, seorang wanita secara umumnya hanya mampu bertahan antara empat hingga lima bulan sahaja.

Jelasnya, adalah jarang bagi golongan tersebut mampu bertahan dengan kecurangan suami sehingga setahun mahupun dua tahun.

“Jika ada yang pendam lama, ia memberi kesan terhadap kesihatan mental mereka. Pendam lama-lama perasaan boleh menyebabkan seseorang isteri sakit jiwa.

“Ia boleh menyebabkan mereka bertindak dengan cara yang tidak sepatutnya apabila tidak tahan lagi dengan situasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, dalam keadaan seorang isteri yang mengetahui tentang kecurangan suaminya namun kekurangan maklumat mengenainya, mereka perlu proaktif bagi mendapatkan bukti terhadap perkara tersebut.

Katanya, di era serba moden ini, banyak kaedah yang boleh diambil mereka, antaranya menggunakan khidmat penyiasat peribadi bagi memantau pergerakan suami.

“Periksa apa yang berlaku di pejabat, malah di rumah pula, isteri juga boleh memeriksa pakaian suami. Ia perlu dilakukan untuk membolehkan langkah seterusnya dalam hubungan mereka diambil,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan dalam satu terbitan berkata, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh seseorang yang berhadapan dengan masalah kesihatan mental.

Antaranya, menurut terbitan itu, selain mendapatkan nasihat dari kalangan profesional, seseorang juga boleh berkongsi kebimbangan dihadapi dan masalah dengan orang lain.

“Amalkan pemakanan yang seimbang dan sihat. Hilang selera makan akibat kemurungan boleh merumitkan kesihatan mental.

“Lakukan senaman sebagai aktiviti harian. Amalkan pengambilan ubat-ubatan mengikut nasihat doktor,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI