KUALA LUMPUR – Kira-kira RM15,000 diperlukan Galeri Animal Malaysia setiap bulan untuk menguruskan kucing jalanan yang dikutip di tepi jalan serta pasar awam di sekitar Lembah Klang.
Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), Arie Dwi Andika berkata, kos tersebut melibatkan makanan, pasir, pemulihan serta rawatan kepada kucing yang sakit dan kos pengurusan termasuk gaji enam pekerja di galerinya.
Menurutnya, kesemua kos tersebut ditanggung pihak persatuan tanpa melibatkan dana daripada orang perseorangan, swasta, korporat atau daripada pihak kerajaan.
“Dana ini saya cari dan usahakan sendiri, walaupun kita turut mengadakan jualan amal cenderahati daripada pihak galeri, namun ia kurang membantu.
“Sebab itu saya perlu mencari alternatif lain, dan syukur sekarang ada syarikat makanan kucing iaitu Button and Bows sudi menaja makanan serta pasir untuk kegunaan kucing di galeri ini,” katanya kepada Kosmo!.
Arie berkata, walaupun mereka hanya menaja makanan dan pasir, tetapi ia sedikit sebanyak telah membantu pihak galeri menguruskan kucing-kucing malang tersebut.
“Kita masih memerlukan bantuan lain seperti khidmat vaksin atau pemandulan kucing kerana kos untuk kedua-duanya juga mahal dan kini pihak galeri terpaksa menanggung sendiri.
“Kami sentiasa terbuka untuk menerima bantuan daripada mana-mana pihak tidak kiralah daripada orang perseorangan, swasta, pihak korporat atau agensi kerajaan.
“Seperti juga kita (manusia), haiwan ini juga perlukan perlindungan dan tempat tinggal yang lebih selamat,” ujarnya.
Beliau berkata, akibat kekangan kos dan tempat untuk pemulihan serta rawatan, pihaknya mengehadkan bilangan kucing di galeri iaitu 100 ekor untuk satu-satu masa.
Katanya, langkah tersebut diambil kerana pihaknya kekurangan tempat untuk menyimpan kucing selain kekangan kakitangan untuk menguruskannya.
“Selain itu, kita mahu kucing yang dirawat dan dipulihkan di sini lebih selesa berada di galeri sebelum mereka diserahkan kepada ‘tuan baharu’.
“Pada masa sama, galeri ini juga menitikberatkan peraturan yang telah terkandung dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015 terutamanya berkaitan keselesaan premis perlindungan dan juga kebajikan haiwan,” ujarnya.














