MEMEGANG gelaran sebagai pendakwah merupakan satu tanggungjawab yang besar dalam menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat.
Dengan pelbagai isu dan salah laku agama yang berlaku pada masa kini, ia telah mencetuskan pelbagai salah faham dalam kalangan orang awam terhadap Islam.
Hal ini menjadi lebih sensasi apabila kesalahan agama dilakukan oleh individu-individu popular sehingga menjadi tular. Bagi memperbetulkan keadaan itu, golongan pendakwah merupakan barisan pertama yang akan bertindak menegur dan memperbetulkan isu terbabit.
Biarpun bertindak atas tanggungjawab dakwah, terdapat juga kritikan yang dilemparkan kepada pendakwah dengan menuduh mereka mahu meraih populariti atas teguran dan nasihat disampaikan.
Bagi membincangkan senario yang berlaku terhadap golongan pendakwah, wartawan Kosmo! Ahad, GHAZALI ALIAS berkesempatan menemu bual pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma’ Harun.
KOSMO! AHAD: Difahamkan Ustazah merupakan seorang kakitangan awam sebelum ini. Bagaimana Ustazah boleh terlibat di dalam bidang dakwah dan motivator? Bagaimanakah Ustazah membahagikan masa antara kerjaya dan dunia dakwah?
Ustazah Asma’ Harun: Khidmat saya sebagai penjawat awam bermula sebagai Pegawai Hal Ehwal Agama Islam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ditugaskan ke Jabatan Hal
Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sebagai Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam (Perunding Cara Rumah Tangga).
Saya kemudian dilantik sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal di JHEAINS bermula pada 2008 hingga 2017.
Penglibatan dalam dunia dakwah dan kemanusiaan bermula secara sepenuh masa pada hujung 2017 sehingga kini.
Berkaitan pengurusan masa antara kerja dakwah dan tugas hakiki, saya mempunyai sistem sokongan yang kuat. Peranan paling besar dalam urusan dakwah, perniagaan dan keluarga telah dimainkan oleh suami tercinta iaitu Tengku Fazli Tengku Yahya.
Selain itu, doa ibu ayah yang menyokong dan mendoakan perjalanan ini menjadi kunci utama apa jua kejayaan.
Sistem pengurusan yang sistematik turut dijayakan oleh setiap individu yang hebat di dalam Hijrah Group Empire Sdn. Bhd, Yayasan Al-Hijrah dan Sahabat Amal Care.
Difahamkan Ustazah dibesarkan dalam keluarga yang aktif dalam bidang dakwah. Adakah perkara tersebut mempengaruhi dan mendorong Ustazah untuk mengikut jejak ayah dan datuk?
Ya, arwah ayah sangat kuat memberi dorongan dan sokongan kepada saya untuk terlibat dalam dunia dakwah secara mendalam.
Beliau banyak membantu di peringkat awal saya menyampaikan dakwah dengan membimbing, membentuk, menegur, menasihati dan memberi panduan sebelum berceramah.
Begitu juga dengan datuk saya, Ustaz Awang Nasaruddin Abu Bakar atau dikenali sebagai Tuan Guru Haji Awang Jidin yang diberi gelaran Ustaz Awang ‘Tukul Besi’. Ini berikutan kelantangan dan ketegasannya dalam berdakwah.
Sejak kecil, saya selalu melihat arwah datuk menyampaikan ceramah yang dihadiri oleh ratusan hingga ribuan orang dari pelbagai lapisan masyarakat.
Kemampuannya menyampaikan ceramah yang bersemangat, penuh ilmu dan teratur sangat memberi inspirasi sehingga mendorong saya untuk masuk ke medan dakwah ini.
Moyang saya pula adalah seorang alim yang terkenal dalam bidang fikah iaitu Tok Guru Abas Muhammad iaitu Pengasas Pondok Tok Jiring (Sekolah Menengah Agama Tok Jiring). Beliau seorang yang terkenal dengan gelaran ‘kemuncup’ kerana kekuatan daya ingatan yang dimilikinya.
Selain berceramah secara fizikal, Ustazah juga dilihat aktif berdakwah menggunakan media sosial termasuk membuat video di dalam TikTok dan YouTube. Apakah sebabnya, boleh ustazah jelaskan?
Pengaruh merupakan amanah yang akan dipersoalkan di akhirat. Maka, saya bertanggungjawab memanfaatkan pengaruh ini untuk jalan kebaikan sedaya upaya.
Hakikatnya, sasaran dakwah saya paling ramai berada di media sosial. Maka, wajib bagi pendakwah berada dalam lapangan tersebut.
Disebabkan itu, pasukan media khas diwujudkan yang kini seramai 10 orang. Kami komited memberikan yang terbaik di medan dakwah di dalam platform berkenaan. Malah, kami memperuntukkan belanja besar untuk tujuan ini.
Ustazah terkenal dengan kelantangan mengkritik selebriti-selebriti tanah air yang dilihat melakukan perkara yang bercanggah dengan Islam. Apakah faktor Ustazah bertindak demikian?
Menjadi tanggungjawab sesama saudara Islam untuk saling menegur dan menasihati ke arah kebaikan serta mencegah kemungkaran.
Teguran tidak hanya dikhususkan kepada selebriti sahaja tetapi kepada orang awam juga.
Namun, disebabkan selebriti adalah golongan yang berpengaruh dan menjadi tumpuan, maka perbuatan mereka akan menjadi ikutan terutama kepada peminat.
Jika baik, kita sokong. Jika sebaliknya, kita kekang.
Disebabkan teguran-teguran dan kelantangan itu, Ustazah teruk dikecam oleh netizen terutamanya peminat-peminat selebriti yang dikritik. Bagaimanakah Ustazah menghadapi situasi ini? Adakah kritikan-kritikan itu melemahkan semangat Ustazah untuk terus berdakwah kepada golongan itu?
Apabila menjalankan kerja dakwah, kita perlu bersedia menghadapi kritikan dan kecaman.
Banyak juga yang positif, maka ia menjadi panduan untuk saya menjadi pendakwah yang lebih kuat dan berkesan.
Jika kita perhatikan, Rasulullah SAW adalah seorang insan yang paling mulia di atas muka bumi ini.
Namun, Baginda juga dihina dengan amat berat, begitu juga para sahabat dan para alim ulama yang banyak berjasa dalam memperjuangkan Islam.
Mereka turut melalui jalan yang sama, maka amat sedikit cabaran pendakwah pada hari ini jika dibandingkan dengan ujian yang ditempuh oleh para sahabat dan alim ulama sebelum ini.

Kita dapati, tidak ramai pendakwah di negara ini yang mempunyai kekuatan untuk menegur kesalahan yang dilakukan oleh selebriti dan golongan kenamaan. Dari manakah Ustazah dapat kekuatan untuk melakukan perkara itu?
Tuntutan mencegah kemungkaran seperti yang terkandung di dalam al-Quran dan hadis mendorong saya supaya teguran perlu dilakukan terhadap golongan yang berpengaruh walaupun kita sedia maklum tentang kesan dan akibatnya.
Hal ini kerana saya ingin menjadi sebahagian umat Islam terbaik yang menggembirakan Rasulullah SAW, itulah motivasi tertinggi.
Saya percaya semua orang boleh melakukan amar ma’ruf tetapi tidak semua ingin melakukan nahi mungkar.
Namun, jika tidak melaksanakannya, maka kita akan melihat kerosakan yang akan berlaku kepada masyarakat sekiranya golongan berpengaruh ini tidak ‘dijaga’ dan dipantau.
Sebenarnya, setiap pendakwah ada kaedah dan sasaran dakwah yang tersendiri. Maka di sinilah peranan para pendakwah saling melengkapi dalam menyampaikan kebaikan kepada semua lapisan masyarakat.
Ada juga pihak yang mendakwa, sebab utama Ustazah ‘menegur’ selebriti-selebriti ini adalah untuk menjadi terkenal dan menumpang populariti artis yang dikritik. Ada juga yang kata Ustazah ini penunggang agama. Boleh Ustazah ulas mengenai dakwaan ini?
Mengenai definisi penunggang agama yang sebenar, ia disebut jelas di dalam al-Quran ialah orang munafik.
Golongan ini tidak beriman kepada Allah SWT, namun secara lisan mereka bercakap perihal agama untuk mengaburi orang ramai demi kepentingan diri sendiri.
Saya sedikit pun tidak perlu untuk menumpang populariti artis atau selebriti kerana kemasyhuran bukan satu kemuliaan tetapi merupakan amanah.
Saya melakukan teguran kepada golongan ini kerana memanfaatkan pengaruh yang ada dengan harapan ia akan memberi impak yang lebih berkesan.
Mencegah kemungkaran sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh semua orang kerana mengetahui akibatnya seperti dibenci, dikecam, dan lain-lain lagi.
Ia tidak memberi keuntungan di dunia tetapi pasti menguntungkan di akhirat kelak.
Sebagaimana disiarkan dalam sebuah majalah baru-baru ini, Ustazah menyatakan ramai isteri semakin hilang hormat kepada suami. Ada apa-apa nasihat yang Ustazah mahu sampaikan?
Keluarga bahagia bukanlah sebuah keluarga tanpa ujian, tetapi segala ujian itu perlu diurus menurut cara yang benar agar peroleh pertolongan Allah SWT dalam menghadapinya.
Suami isteri mesti sentiasa menambah ilmu yang berkaitan urusan keluarga agar setiap tindakan di dalam rumah tangga dipandu dengan ilmu pengetahuan.
Seterusnya, konsisten melakukan aktiviti bersama seperti ibadah, makan, saling membantu melakukan kerja rumah, bertukar hadiah, pergi bercuti bagi menguatkan lagi keharmonian dalam rumah tangga.
Percayalah, setiap masalah pasti ada jalan keluar dan setiap ujian pasti ada hikmahnya. Paling utama, sentiasa berdoa, Dia pasti akan membantu.
Difahamkan Ustazah merupakan Pengasas & Penaung Sahabat Amal Care. Boleh Ustazah ulas peranan dan kerja-kerja yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam menyebarkan syiar Islam?
Gerak kerja Sahabat Amal Care merangkumi dakwah, kemanusiaan, misi khas iaitu tabung pendidikan, perubatan, misi bencana alam, rumah prihatin serta keusahawanan.
Tidak semua orang berkemampuan untuk menyalurkan bantuan pada skala yang besar, bahkan ada yang melakukannya secara individu sahaja.
Disebabkan itu, kami mengambil tanggungjawab mengasaskan NGO ini supaya bantuan dapat disalurkan secara sistematik dan diyakini ketulusannya.
Alhamdulillah, hasil sumbangan masyarakat Malaysia, Sahabat Amal Care telah menjalankan banyak misi dakwah dan kemanusiaan sejak tahun 2020 sehingga kini.
Antaranya, misi bencana alam seperti banjir, ribut taufan dan kebakaran di dalam mahupun luar negara. Selain itu, misi korek perigi, bantuan kemanusiaan dan ibadah korban di dalam dan luar negara seperti Afghanistan, Yemen, Kemboja serta Afrika juga telah berjaya dilaksanakan hasil keprihatinan rakyat Malaysia.














