fbpx

Saksi insiden pergaduhan, Farisha Iris jadi hero telefon polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARISHA IRIS cemas dan bertindak menghubungi polis sewaktu menyaksikan sebuah insiden pergaduhan di sebuah restoran di Petaling Jaya, malam kelmarin.

PETALING JAYA – “Macam menonton filem KL Gangster.”

Demikian perkongsian penyanyi Farisha Iris saat berdepan insiden pergaduhan melibatkan seorang lelaki kulit hitam dengan warga tempatan ketika sedang makan di sebuah restoran, malam kelmarin.

Menceritakan kejadian yang berlaku pulang dari menonton sebuah konsert di ibu negara itu, Farisha atau nama sebenarnya Farisha Asmadi pada awalnya tidak ambil peduli memandangkan pergaduhan tersebut agak jauh dari tempat duduknya.

Namun melihatkan keadaan seperti tidak terkawal sehingga mencetuskan rasa cemas, mendorong Farisha segera mengambil tindakan menghubungi polis bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Pada awalnya, saya tidak ambil peduli mengenai pergaduhan yang berlaku kerana insiden berkenaan di meja yang agak jauh.

“Namun saya rasa rimas kerana makin lama makin dekat jarak pergaduhan dengan meja saya yang kemudian buat saya cuak.

“Apabila semua sibuk merakam pergaduhan tersebut, saya pun telefon polis disebabkan orang lain cuma sibuk mahu tularkan insiden itu sahaja,” katanya dalam sebuah video menerusi TikTok.

Dedah penyanyi berusia 24 tahun itu lagi, ketika sedang bercakap dengan polis di talian dia diganggu pula lelaki berkulit hitam yang membuat kekecohan.

“Semasa menelefon polis itulah lelaki yang membuat kacau ganggu sejak awal insiden datang pula ke meja saya dan rakan. Dia terbalikkan meja kami.

“Saya yang ketakutan terus menjerit meminta polis segera datang ke lokasi kejadian,” kata pelantun lagu Tak Malu itu.

Tambah peserta Big Stage musim ketiga itu, punca pergaduhan adalah disebabkan lelaki tersebut yang difahamkan sudah mabuk enggan membayar bil makanan mencecah ratusan ringgit.

“Ketika belum sempat digari polis yang sampai di tempat kejadian, lelaki kulit hita itu memukul pula mangsa lain” kongsinya.

Tinjauan Kosmo! Online bagaimanapun mendapati video berkaitan kejadian tersebut sudah dipadamkan daripada TikToknya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI