fbpx

Kafe penuh estetik tawar sajian croffle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN seleksi croffle yang ditawarkan di kafe Poppy Kat.

MENGUNJUNGI kafe estetik atau memiliki sudut-sudut sesuai bergambar sering menjadi pilihan ramai khususnya mereka yang mahu makan dalam suasana menarik.

Maka, tidak hairanlah para pemilik kafe kini bukan sahaja mementingkan kualiti makanan disajikan, tetapi turut menitikberatkan dekorasi pada premis mereka.

Sebuah kafe yang terletak di Taman Tayton, Cheras, Kuala Lumpur yang diberi nama Poppy Kat merupakan antara kafe popular pilihan pengunjung.

Kafe berkenaan sangat sesuai buat pelanggan yang berhasrat untuk menjamu selera sambil merakam gambar di dalamnya.

Rona jingga dengan dekorasi minimalis moden melatari kafe itu sehingga mampu memberikan satu pengalaman baharu saat menjamu selera.

Tarikan lain yang ada pada Poppy Kat, ia merupakan sebuah kafe kucing dan mesra haiwan.

Pemiliknya, Peggy Chow berkata, dia mula membuka kafe tersebut secara rasmi pada 7 Mei 2021.

rona jingga dengan dekorasi minimalis moden mampu memberi pengalaman berbeza kepada pelanggan saat menjamu selera di kafe Poppy Kat, Cheras, Kuala Lumpur.

Antara menu yang ditawarkan termasuklah sajian berat seperti sandwic serta hidangan pencuci mulut seperti kek dan croffle yang merupakan gabungan croissant dengan wafel.

Menu croffle semakin popular dalam kalangan penggemar pencuci mulut di negara ini.

Ia dihasilkan menerusi gabungan tekstur kenyal daripada sekeping croissant dengan kelembutan wafel.

“Di Poppy Kat, kami mengutamakan pengalaman makan dalam suasana yang menarik.

“Pada masa sama, kami menyajikan menu menyelerakan seperti croffle yang memenuhi cita rasa pelanggan.

“Sebelum ini, saya merupakan seorang barista yang bekerja di Australia.

“Apabila pulang ke Malaysia, saya berhasrat membuka sebuah kafe dengan seleksi menu yang menarik lalu tertubuhlah kafe Poppy Kat,” ujarnya.

Antara pilihan menu yang disajikan di premis itu adalah seperti hojicha yuzu croffle, smoked duck with brie yang merupakan croffle versi savoury dan basic croffle.

Bagi seleksi makanan berat pula, Poppy Kat popular dengan sajian sandwich green curry yang merupakan sajian roti sandwic dengan kari hijau bersama hirisan mangga.

Kafe itu turut popular dengan truffle portobello melt sandwich bun iaitu sajian sandwic bersama sos cendawan, cendawan enoki dan bawang karamel.

Bagi seleksi minuman pula, Peggy berkata, dia menyajikan minuman asas yang ada di sebuah kafe seperti latte dan juga espresso.

SALAH satu seleksi croffle yang terdapat di kafe Poppy Kat.

Bagi memberi kelainan, dia berkata, pihaknya turut memperkenalkan beberapa menu signatur untuk dicuba pelanggan seperti my Melbourne tea.

Ia merupakan teh dihidang bersama perisa vanila dan strawberi serta kepingan bunga ros kering.

“Bagi penggemar kopi pula, mereka boleh mencuba menu signatur lain seperti butterpop latte yang merupakan sajian kopi susu bersama sos butterscotch dan bertih jagung.

“Minuman lain yang harus dicuba adalah black lychee.

“Ia merupakan menu kopi hitam yang digabungkan dengan perisa laici dan vanila serta diserikan bersama kepingan bunga ros kering,” ujarnya.

Harga menu di Poppy Kat bermula daripada RM10 untuk minuman dan RM9 sehingga RM34 bagi menu utama.

Jelas Peggy lagi, selain makanan al carte, pihaknya turut menyajikan seleksi menu bundle yang sesuai dijadikan sebagai hadiah.

Bagi set fourffle croffle giftbox, pelanggan boleh memilih empat jenis croffle yang akan dibungkus dalam kotak istimewa bersama sekeping kad ucapan untuk diberikan sebagai hadiah.

Untuk makluman, Poppy Kat dibuka setiap hari kecuali Rabu dari pukul 11 pagi sehingga 10 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI