fbpx

Sajian Tex-Mex cita rasa asli dan halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CRUNCHY taco beef merupakan menu signatur di restoran Burger & Taco.

RANGUP dan berjus merupakan ungkapan tepat bagi menggambarkan nikmat crunchy taco beef saat ia dikunyah oleh penulis.

Tekstur taco atau tortilla jagung juga tidak lembab dan tidak rapuh biarpun isinya padat dengan isi daging lembu dari New Zealand, sos keju, salad, tomato dan limau aioli.

Keadaan itu membolehkan keseimbangan rasa rangup dan jus saling melengkapi, sekali gus menyerlahkan keaslian makanan tradisi Mexico itu.

Crunchy taco beef merupakan salah satu makanan signatur di restoran Burger & Taco di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Antara makanan lain yang laris di situ adalah fish burrito, beef quesadilla, burger sweet emotion dan burger Super Mario.

Biarpun berasal dari Mexico, namun juadah di restoran tersebut memiliki ciri-ciri fusion Texas, Amerika Syarikat yang dipanggil Texas-Mexico (Tex-Mex).

Menurut pengurus restoran, Luqmanul Hakim Osman, 26, konsep Tex-Mex yang diterapkan dalam restoran tersebut merupakan inspirasi daripada pemilik restoran.

“Salah seorang pengasas dan pemilik restoran kami membesar dan belajar di Texas.

“Dia adalah penggemar ‘gourmet’ burger dan makanan Tex-Mex. Dia sangat biasa dengan profil rasa asli makanan Tex-Mex.

“Oleh itu, dia mahu memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk merasai sendiri rasa masakan Tex-Mex yang halal dan berkualiti tinggi,” katanya.

LUQMAN HAKIM menunjukkan pilihan sajian ditawarkan di Burger & Taco, Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Untuk rekod, Burger & Taco merupakan restoran tempatan yang beroperasi pada tahun 2019 dengan cawangan pertama terletak di Tamarind Square, Cyberjaya, Selangor.

Cawangan kedua dibuka pada tahun 2022 di Pavilion Bukit Jalil bagi menarik lebih ramai pelanggan sekitar kawasan Lembah Klang.

Tambah lelaki berasal dari Sarawak itu, juadah-juadah di restoran tersebut sudah melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang terperinci.

Perkara itu termasuk mengimport banyak bahan-bahan mentah dari luar negara, penggunaan sayur-sayuran segar serta sos buatan sendiri.

Hasilnya, rasa asli makanan Tex-Mex tidak berubah biarpun sedikit olahan dibuat bagi menepati status halal.

Jelas Luqmanul Hakim lagi, keistimewaan hidangan burger di restoran tersebut adalah dagingnya (patty) yang merupakan buatan sendiri.

“Bahan-bahan kami diiktiraf halal. Kami mengimport 100 peratus daging lembu premium dari Australia dan New Zealand.

“Daging lembu dan ayam kami bukan sahaja tebal, bahkan tidak mengandungi filler atau sebarang bahan pengawet.

“Ini merupakan antara rahsia keenakan rasa burger kami yang berjus dan cukup rasa,” katanya.

Bagi seleksi menu diet vegetarian, patty burger akan digantikan dengan hash brown atau cendawan portobello.

Pelanggan juga boleh memilih sama ada telur atau cendawan portobello untuk dijadikan inti taco, quesadilla dan burrito.

Untuk minuman pula, pelanggan disarankan untuk mencuba strawberry milkshake dan Oreo milkshake yang memiliki rasa cukup klasik.

Kandungan aiskrim yang padat dalam kedua-dua minuman milkshake tersebut membuatkan rasa pekat dan lemak berkrim jelas terasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI