fbpx

Mi bandung udang galah jadi sajian signatur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MI bandung udang galah merupakan sajian signatur di Rumah Burok selain hidangan lain seperti soto.

SEBUT sahaja resipi mi bandung, terus terbayang keenakan mi kuning dalam kuah sedikit pekat beserta udang dan telur goyang yang sememangnya akan membuka selera sesiapa sahaja.

Lebih menambat selera, pelanggan boleh memilih untuk menambah udang galah dalam masakan tradisional dari Muar, Johor tersebut bagi menambahkan cita rasa mewah.

Sajian yang disaji dalam mangkuk berbunga klasik itu merupakan signatur di Kedai Rumah Burok (Rumah Burok), Kampung Besut, Chukai, Terengganu.

Pemilik Rumah Burok, Nur Illyana Mohd. Hafiz berkata, sebanyak 20 kilogram mi diperlukan bagi menampung permintaan pelanggan terhadap menu tersebut pada setiap hari.

Tambahnya, idea asal datang daripada suaminya, Adli Mahadi yang merasakan masakannya wajar dikomersialkan dan dikongsi bersama warga Chukai dan Kemaman.

“Mi bandung ini adalah resipi turun-temurun daripada keluarga saya yang berasal dari Johor. Mi bandung ini istimewa kerana kami mementingkan kualiti bahan yang digunakan.

“Kami juga pastikan bahan-bahan yang diletakkan dalam setiap hidangan mi bandung bersifat premium seperti penggunaan udang galah bersaiz besar bagi menu spesial.

“Bagi kami, penting untuk menyediakan semangkuk mi bandung yang sarat dengan isi agar pelanggan berasa puas selepas menikmatinya,” katanya.

NUR ILLYANA merupakan pemilik kedai Rumah Burok di Chukai, Terengganu.

Menggunakan hiasan dalaman berkonsepkan Melayu klasik, Rumah Burok dibuka di sebuah rumah tradisional terbengkalai yang kemudiannya diubah suai menjadi kedai makan.

Kedai makan yang dibuka pada 2021 itu pada asalnya hanya menawarkan makanan tradisi Melayu.

Bagaimanapun, kedai itu telah membuat penjenamaan semula dengan penambahan menu dan waktu operasi.

“Sewaktu pembukaan, kedai ini mengetengahkan makanan asli masyarakat Melayu seperti lemang dan rendang, lempeng kelapa, ketupat serta cucur udang.

“Kami memilih rumah klasik ini sebagai lokasi perniagaan disebabkan ‘vibes’ di sini sesuai dengan konsep.

“Kemudian, kami mengambil langkah drastik dengan mengubah beberapa aspek di kedai ini.

“Selain menambah menu Barat, Rumah Burok juga menyediakan aneka pastri serta beberapa jenis makanan Korea Selatan,” tuturnya.

INI merupakan sebahagian daripada sarapan ala Barat.

Bagi sarapan pagi dan tengah hari, Rumah Burok menyajikan hidangan makanan tradisional Melayu seperti soto, nasi lemak dan mi bandung.

Kedai itu turut menyediakan sarapan Barat seperti white bread chicken sunny, ciabatta with pulled beef dan full English breakfast.

Pada sebelah malam, kedai itu menyajikan sajian ala-ala kafe Barat seperti aglio olio, carbonara, bolognese dan fettuccine alfredo.

“Kami menyediakan dua sesi berbeza untuk pelanggan. Pada sebelah pagi, kami buka dari pukul 7 pagi sehingga 2 petang. Pada sebelah malam pula, kami buka dari pukul 3 petang hingga 11 malam.

“Ini menjadikan Rumah Burok sebagai lokasi terbaik buat para pelanggan merasai pelbagai pilihan makanan dengan suasana perkampungan klasik Melayu,” ujarnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI