fbpx
kemalangan melibatkan motosikal sering berlaku akibat cuai, langgar lampu isyarat dan mencelah-celah ketika jalan sesak. - Gambar hiasan

Penunggang motosikal tak takut mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Banyak kes maut, cedera parah atau cacat disebabkan nahas belum dapat memberi keinsafan kepada segelintir penunggang motosikal apabila masih ramai menunggang kenderaan itu tanpa menghiraukan keselamatan orang lain dan diri sendiri.

Tindakan penunggang motosikal sama ada di kampung atau bandar yang tidak ambil pusing mengenai hal keselamatan di atas jalan membuatkan pihak berkuasa pening kepala memikirkan kaedah terbaik untuk mengurangkan jumlah kematian melibatkan mereka.

Walaupun melihat kemalangan maut di depan mata, nampak kawan tergolek dan patah riuk akibat lumba haram atau menunggang secara melulu, namun ia hanya membuatkan mereka insaf sekejap sebelum kembali menunggang motosikal secara berbahaya.

Kesalahan yang sering dilakukan termasuk melanggar lampu isyarat, tidak menggunakan signal dan mencelah-celah ketika sesak.

Keadaan itu selari dengan kajian Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia apabila merekodkan 2,916 atau 66.6 peratus kemalangan melibatkan penunggang motosikal dari Januari hingga September tahun lalu.

Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Rozmi Ismail berkata, sikap tidak ambil pusing mengenai keselamatan sudah menjadi budaya kerana ramai beranggapan ia tidak serius.

“Mereka anggap langgar lampu merah sebab nak laju dan cepat mahu ke tempat kerja atau kejar trip sebagainya benda biasa.

MOTOSIKAL ditunggang pelajar terperosok di bawah lori selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Padang Tembak, Kota Bharu, Kelantan./ Gambar hiasan

“Kami sudah letih macam mana nak buat. Kalau saya sebut jangan beli motosikal, tetapi nanti orang marah saya. Pening kepala,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Rozmi, berpuluh tahun dia mencari solusi sebelum menyarankan supaya memasang kamera di semua lampu isyarat dan pantau penunggang selalu langgar lampu merah.

Tambahnya, sebelum ini ada sistem mata demerit yang boleh menyebabkan lesen digantung jika didapati bersalah tetapi ramai pula yang tak puas hati dan marah-marah.

“Kami (ahli akademik) pula dipersalahkan kerana didakwa tak faham masalah orang dan hanya pandai cakap sahaja.

“Bila hendak benarkan remaja 16 tahun ambil lesen dengan alasan mudahkan pergi sekolah, kami tentang habis-habisan sebab tak mahu tengok lebih ramai lagi budak mati atas jalan,” katanya.

Ujar Romzi, usaha mengurangkan risiko kemalangan sukar untuk dilakukan kerana tiada political will dan ia akan berlarutan sampai bila-bila.

“Terdapat tiga sebab kemala­ngan iaitu cuaca atau persekitaran, mekanikal dan manusia. Dalam tiga itu, faktor manusia mewakili 80 hingga 90 peratus iaitu cuai, sengaja melanggar pe­raturan dan kesilapan,” katanya.

Menurut Romzi, ketiga-tiga punca itu boleh disaksikan setiap hari dalam kalangan penunggang motosikal di kampung atau bandar.

“Masalah kita ialah ambil kursus hanya untuk lulus lesen dan bukan mahu ambil pengajaran dan belajar mengenai keselamatan. Sedih lihat ramai ‘tewas’ di jalan raya seolah-olah tak sayang nyawa,” katanya.

Sementara itu, pensyarah psi­kologi dan kaunseling Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Rafidah Aga Mohd. Jaladin berkata, sikap manusia terdiri dari tiga komponen utama iaitu aspek kognitif (pemikiran), afektif (perasan) dan tingkah laku.

“Semua kena ingat, jalan raya bukan tempat berlumba tetapi bukan sikap sahaja, kena juga akui struktur dan kondisi jalan juga boleh jadi penyumbang kemalangan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN