Gambar hiasan

Tiada masa depan jadi doktor di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Industri perubatan di Malaysia bakal berdepan dengan isu kekurangan kakitangan apabila ramai doktor muda memilih luar negara sebagai tempat mencari rezeki atas alasan sukar mengembangkan cita-cita sebagai pakar sepanjang berkhidmat di negara ini.

Selain itu, isu buli, tiada hala tuju dan sistem kontrak yang tidak jelas turut menjadi penyebab hingga mereka digelar pengkhianat negara kerana membuat keputusan tersebut.

Bukan itu sahaja, ada yang memberi alasan bahawa tekanan emosi dan psikologi disebabkan persekitaran negatif turut menyebabkan penghijrahan mereka ke tempat yang lebih menghargai kepakaran mereka.

Seorang doktor muda dikenali sebagai Azie, 29, berkata, dia nekad berpindah ke Ireland sejak sebulan lalu kerana industri di sana lebih menjanjikan masa depan kerjaya yang lebih baik.

Katanya, dia berpindah bukan kerana mengejar gaji yang lebih tinggi tetapi dia tidak pernah diberikan laluan untuk meneruskan cita-cita sebagai pakar sepanjang berada di Malaysia.

“Bukan saya tak sayang Malaysia atau gaji di Ireland lebih tinggi tetapi saya langsung tidak berpeluang untuk meneruskan cita-cita selepas lapan tahun bekerja di Malaysia.

“Ketika latihan siswazah (housemanship), saya dah mula mohon teruskan pengajian di United Kingdom dan Ireland kerana saya tak nampak masa depan di Malaysia untuk sambung menjadi pakar,” katanya kepada Kosmo!.

Azie memberitahu, dia nekad berhenti berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan selepas lima tahun kerana minat dalam bidang klinikal.

Mengimbau semula kea­daan sebelum dia berhijrah, Azie berkata, selepas tamat latihan, dia bertugas selama enam bulan di hospital kerajaan sebelum dihantar ke bahagian bukan klinikal selama 11 bulan.

Tambahnya, di situ, dia dan ramai lagi pegawai perubatan kontrak ditugaskan untuk me­nguruskan data Covid-19 kebangsaan dan beberapa kerja perkeranian lain.

“Banyak kali saya cari jalan untuk kejar impian tetapi jawapan tetap sama iaitu penempatan adalah mengikut keperluan semasa demi kepentingan perkhidmatan,” katanya.

Azie mendakwa, situasi di hospital kerajaan dengan tenaga kerja yang berkurangan umpama menanti empangan yang sudah sekian lama untuk pecah dan melimpah.

Tambahnya, melalui pengalamannya, kebanyakan doktor bukan tidak mahu menyambung menjadi pakar tetapi laluan terlalu sulit dan terhad hingga membuatkan mereka mengetepikan cita-cita.

“Saya sudah menerima latihan merangkumi enam bidang kepakaran ketika housemanship tetapi tiada jalan di hadapannya. Saya tak lupa diri dan berdoa agar mampu menyelesaikan hutang pendidikan dengan gaji di sini,” katanya.

Seorang lagi doktor yang dikenali sebagai Hana, 28, berkata, dia tak kisah digelar pengkhianat kerana memberi khidmat di luar negara.

“Saya dapat pinjaman lebih RM1 juta untuk melanjutkan pelajaran di Ireland dan nekad untuk kerja di sini selepas tamat belajar selama lima tahun.

“Tak banyak perubahan yang boleh saya bawa jika bekerja di Malaysia. Saya harap untuk pulang sebagai pakar bukan sahaja dengan ilmu klinikal, tetapi budaya kerja yang patut dipraktikkan di Malaysia,” katanya.

Menurut Hana, setiap pekerja hospital Ireland diberi panduan jelas berkaitan buli selain menekankan budaya kerja berpasukan berbanding hierarki.

Sementara itu, Azizi, 29, yang baru enam bulan bertugas sebagai pegawai perubatan di United Kingdom mendakwa, sistem perubatan negara mengeksploitasi ­doktor-doktor muda.

“Setelah mempunyai pengalaman di dalam sistem kesihatan yang lain, saya yakin betapa doktor dan houseman (di Malaysia), dieksploitasi.

“Saya lega tidak lagi perlu melalui masa kerja 30 jam di Malaysia dan bagi houseman di sini pula, mereka bekerja sama taraf dengan se­nior,” ­katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN