KEJAYAAN album klasik Belagu I yang dilancarkan pada Februari 2021 menjulang kejayaan membanggakan buat penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah apabila meraih beberapa anugerah di Anugerah Industri Muzik tahun lalu.
Dengan mempersembahkan barisan lagu klasik dalam perspektif yang lebih segar, Belagu I juga meraih kedudukan tangga nombor satu dalam carta penstriman digital iTunes dalam tempoh dua jam diedarkan.
Melihat kejayaan sebegitu mendorong Dayang menyajikan sesuatu lebih menarik dan berkualiti menerusi Belagu II iaitu sekuel daripada album pertama.
Pemilik nama lengkap Dayang Nurfaizah Awang Dowty itu mengharapkan lagu-lagu klasik dalam kedua-dua album berkenaan dikenali oleh generasi muda meskipun mengakui agak sukar untuk membuat pemilihan material terbaik.

Proses awal
“Objektif album ini untuk memperkenalkan kembali karya klasik Melayu kepada generasi baharu.
“Jadi, pemilihan lagu adalah proses yang agak susah kerana haruslah dibuat dengan teliti iaitu memilih karya yang biasa didengari.
“Ada lagu yang saya ingin nyanyikan kerana sedap dari segi muzik dan melodi tetapi orang tidak berapa tahu,” katanya kepada HibGlam.
Setelah berbincang secara teliti, akhirnya Dayang dan pasukannya bersetuju menghasilkan lapan buah lagu termasuk sebuah lagu baharu, Rindu Menyapa dalam Belagu II.
Bagi Dayang, menyanyikan lagu klasik adalah perkara yang amat sukar kerana dia sememangnya dikenali sebagai penyanyi genre pop, R&B dan balada.

“Susah sebenarnya untuk nyanyikan lagu klasik kerana perlu tahu cara lenggokan dan lembutkan nyanyian.
“Saya pun bukan hari-hari menyanyi lagu asli dan sering bertanyakan kepada Bob Yusof yang lebih mahir dalam bidang tersebut.
“Rata-rata lagu asli ada etika yang tidak boleh dilanggar sesuka hati dan kena ada caranya,” jelasnya.
Pemuzik Budapest
Ditebak mengenai kerjasama bersama pemuzik Budapest Scoring Orchestra (BSO) dengan proses rakaman berjalan di Rottenbiller Hall, Dayang sememangnya mengimpikan nyanyian iringan orkestra.
“Sebenarnya salah pasukan saya kerana bertanya apa yang ingin saya lakukan jika ada peluang.
“Saya langsung menjawab ingin adakan nyanyian secara orkestra. Jadi, Aubrey Suwito memberikan senarai orkestra yang tepat dengan apa yang dirancang.
“Apabila diberitahu memilih pasukan orkestra Budapest, setelah melihat resume dan portfolio, mereka banyak bekerjasama dengan artis besar,” kata penyanyi berusia 42 tahun itu.
Sebelum terbang ke Budapest bagi proses rakaman bersama BSO, pasukan Dayang bersiap sedia merakamkan vokal dan instrumen tambahan terlebih dahulu.
Meskipun BSO tidak biasa dengan muzik Melayu asli, tetapi mereka berjaya melunaskan projek tersebut hanya dalam tempoh dua hari bersama 50 pemuzik yang diketuai Peter Illenyi.

“Sebelum ini mereka hanya memainkan lagu bergenre pop. Jadi ini pertama kali mereka bermain lagu klasik.
“Mereka tidak perlu latihan dan bermain lagu-lagu tersebut dengan hanya membaca nota muzik.
“Cuma mereka akan tanya mengenai maksud lagu untuk menjiwai dan sangat seronok dapat pengalaman memainkan karya klasik,” ujar pelantun lagu Lelaki Teragung itu.
Berkongsi lanjut, Dayang sejujurnya memikirkan untuk berkolaborasi bersama pemuzik tempatan, namun ada kekangan yang timbul membuatkan dia harus mencari kumpulan orkestra luar negara.
“Kami ada fikir beberapa orkestra di Malaysia cuma keadaan tidak mengizinkan.
“Dapat bekerjasama dengan Orkestra Budapest juga satu peluang bagi saya sekali gus dapat berjalan-jalan dan kutip pengalaman di sana.
“Saya juga berbangga lagu Melayu klasik dimainkan di sana dan dikagumi oleh pemuzik Barat,” ujarnya.
Rindu Menyapa
Sebelum menggulung bicara, Dayang menyifatkan lagu Rindu Menyapa merupakan sebuah karya yang sangat sentimental sehingga dipilih menjadi penutup album Belagu II.

“Bukan bermakna yang lain tidak sentimental tetapi lagu ini merupakan hasil tangan penulis lirik Datuk Habsah Hassan.
“Meskipun tidak pernah berjumpa dengannya, tetapi penulisannya ibarat menceritakan perasaan saya dalam pembikinan album ini,” tutupnya.
















