fbpx

75,000 penumpang terjejas syarikat penerbangan Flybe muflis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesawat Flybe berada di landasan lapangan terbang Exeter, barat daya England pada 5 Mac 2020. - AFP

LONDON – Sekurang-kurangnya 75,000 penumpang terjejas berikutan tindakan syarikat penerbangan Britain, Flybe membatalkan semua penerbangan selepas diisytiharkan muflis, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Percutian kira-kira 22,000 penumpang pada minggu ini berakhir apabila syarikat itu membatalkan hampir 300 penerbangan berjadual.

Kira-kira 2,500 penumpang sepatutnya melakukan perjalanan menggunakan pesawat Flybe kelmarin.

Perkembangan itu secara keseluruhannya menjejaskan 75,000 penumpang, demikian menurut Badan Penyiaran Britain (BBC).

Ketua Eksekutif Lapangan Terbang Bandar Raya Belfast, Matthew Hall berkata: “Pertama sekali, pihak kami memohon maaf kepada pekerja dan penumpang Flybe yang terjejas dengan berita ini.

“Penumpang yang menempah tiket penerbangan Flybe tidak seharusnya datang ke lapangan terbang dan perlu mendapatkan nasihat lanjut daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.

“Flybe mengendalikan 10 penerbangan dari dan menuju ke Belfast, lapan daripadanya kini diambil alih oleh pengendali lain di lapangan terbang kami,” jelas Hall.

Menurut laman berita Sky News, 276 daripada 321 kakitangan Flybe telah diberhentikan. 

Kejatuhan Flybe pada 2020 menjejaskan 80 peratus penerbangan di Lapangan Terbang Bandar Raya Belfast, manakala kira-kira 14 peratus penerbangan terjejas selepas syarikat penerbangan itu muflis sekali lagi.

Flybe pernah muflis pada 2020 dan hilang seramai 2,400 pekerja semasa era pandemik Covid-19 yang menjejaskan pasaran pelancongan. Kejatuhan terkini berlaku selepas syarikat itu mula beroperasi semula pada April tahun lalu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI