KEHADIRAN pelbagai kenderaan jenis crossover atau kenderaan utiliti sukan (SUV) di Malaysia dilihat ibarat satu trend baharu berbanding model biasa sedan.
Setiap syarikat automotif juga cuba untuk memperkenalkan model terbaik yang dilengkapi kelebihan-kelebihan tersendiri bagi menarik perhatian orang ramai.
Pada bulan Januari tahun lalu, pengedar baharu jenama Peugeot di Malaysia, Bermaz Auto Alliance telah melancarkan model SUV, 2008.
Berbanding dua model Peugeot lain 3008 dan 5008, model ini lebih kecil serta menggunakan enjin dan transmisi lain, tidak seperti dua model itu. 2008 mempunyai kepanjangan 4,300 milimeter (mm) berbanding 4,510mm (3008) dan 4,670mm (5008).
Model ini bersaing dengan Proton X50, Hyundai Kona, Mazda CX-3 dan Honda HR-V serta beberapa model lain lagi.
Bercerita pada bahagian luaran, seperti dua model lain, 2008 ini juga hadir bersama lampu nyalaan siang yang nampak seperti taring. Lampu depan dan belakang dengan efek tiga dimensi menyerlahkan lagi karakter SUV ini.
Masuk ke ruang kabin, dapat dirasakan nilai-nilai sebuah kenderaan Eropah. Dengan rekaan i-Cockpit yang menggunakan bahan-bahan sentuhan lembut, upholsteri kulit serta kemasan ala gentian karbon menampakkan kualiti tinggi dan premium pada model ini.
Ada satu perkara yang canggih tetapi penulis kurang selesa ialah panel meter kluster 10 inci 3D kerana adakalanya serperti silau. Penulis lebih selesa panel meter tanpa 3D.
Bagaimanapun, itu bukan masalah besar kerana mungkin ciri-ciri itu tidak banyak kenderaan yang menawarkannya. Unik!
Sistem infotainment dengan skrin sentuh tujuh inci berserta Apple CarPlay dan Android Auto serta voice command turut melengkapinya.

Antara perkara lain yang mungkin boleh diperbaiki selepas ini pada pandangan penulis ialah penetap kelajuan kipas serta suhu pendingin hawanya yang hanya boleh diubah menerusi skrin sentuh.
Penulis fikir, untuk tetapan yang mungkin kerap digunakan oleh pemandu perlu ada butang fizikal supaya pemandu dapat menumpukan perhatian di atas jalan raya.
Peugeot 2008 ini menggunakan enjin turbo 1.2-liter tiga silinder dan transmisi enam kelajuan automatik. Enjin nampak kecil tetapi mampu untuk menghasilkan kuasa maksimum 130hp dan tork tertinggi 230Nm.
Penulis dimaklumkan kelajuan maksimum SUV ini mampu mencecah 199 kilometer sejam (km/j). Kadar penggunaan petrol pula sekitar 4.5 liter untuk perjalanan sejauh 100 kilometer (km). Kapasiti tangki petrol 44 liter.
Pemanduan Peugeot 2008 ini tidak sukar untuk dikendalikan di samping kuasa yang memberi respons sebaik sahaja pedal dipijak.
Dari aspek keselamatan, model ini hadir dengan sistem keselamatan aktif dan bantuan pemandu seperti High Beam Assist, Blind Spot Monitoring, Active Lane Keeping Assist, Driver Attention
Warning dan Active Safety Brake. Selain itu, ia dilengkapi enam beg udara keselamatan.
Kesimpulannya, mungkin ada kalangan pembeli yang inginkan kelainan kerana banyak di atas jalan raya ialah SUV jenama tempatan dan Jepun. Model ini mungkin boleh buat anda kelihatan lebih menonjol dengan cita rasa Eropah














