fbpx

Michelle Yeoh ratu cantik Malaysia paling berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Michelle Yeoh meraih trofi Anugerah Golden Globe di Los Angeles minggu lalu.

“Terima kasih, terima kasih atas limpahan cinta dan ucapan tahniah daripada keluarga, kawan-kawan di seluruh dunia, Raja dan Permaisuri saya, Perdana Menteri serta pemimpin-pemimpin di Malaysia, keluarga extended saya di Hong Kong… kesyukuran terdalam saya… di situlah bermulanya kembara saya menjadi seorang pelakon yang akhirnya membawa saya ke tahap hari ini… untuk buah-buah hati saya di Geneva, Paris dan Eropah, seterusnya rakan-rakan di Amerika Syarikat,” tulis Tan Sri Michelle Yeoh memulakan statusnya di Instagram setelah dicurahi ucapan tahniah daripada pelbagai pihak berikutan kejayaannya meraih trofi Anugerah Golden Globe di Los Angeles minggu lalu.

Turut berkenan menyampaikan ucapan tahniah kepadanya ialah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan permaisuri baginda, pemimpin-pemimpin dan rakyat Malaysia atas kejayaannya menjadi pelakon Malaysia pertama menggondol trofi anugerah itu.

Kalau dinilai yang tersirat pada ‘hierarki’ ucapan aktres tersebut, siapa sahaja bisa mentafsirkan bahawa negara tanah tumpah darahnya, Malaysia begitu istimewa dalam hati ‘gadis James Bond’ ini.

Tidak terhenti di situ, Michelle kemudian minggu ini berjaya dicalonkan sebagai pelakon wanita terbaik anugerah paling berprestij perfileman dunia, Oscar sekali gus mencipta sejarah sebagai orang Asia pertama dicalonkan aktres terbaik Oscar selepas 87 tahun!

Sekalipun Michelle sudah berkelana mencipta nama sebagai aktres di luar negara, wanita ini dilihat sentiasa peka tentang Malaysia. Buktinya, setiap kali berlaku banjir besar di negara ini, kelibatnya turun menyantuni mangsa banjir sering terlihat antaranya semasa bah besar di Kelantan pada tahun 2015 dan banjir besar di Selangor pada 2021.

Michelle bahkan diangkat sebagai ikon majalah TIME 2022 dan Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Siapa dia wanita hebat ini? Michelle merupakan anak kelahiran Ipoh, Perak. Bapanya ialah Datuk Yeoh Kian Teik, bekas Pengerusi MCA Perak yang meninggal dunia pada tahun 2014.

Dunia tidak akan kenal Michelle jika tidak kerana pertandingan ratu cantik. Michelle merupakan Miss World Malaysia 1983.

Dia berbakat dalam tarian balet dan seni bela diri. Setelah mewakili Malaysia di Miss World peringkat dunia di Britain, dia yang mengakui seorang ‘kompetitif secara semula jadi’ menyertai pertandingan ratu cantik Queen of the Pacific serta Miss Moomba di Australia dan memenanginya.

Menurut satu temu bual bersama radio ABC Australia, bertitik tolak dari Miss Moomba itulah telah membawanya muncul dalam iklan jenama Guy Laroche bersama Jackie Chan sebelum sebuah produksi filem di Hong Kong menawarkannya watak dalam projek mereka sekali gus bermulalah kehidupannya sebagai aktres dan berkembang mekar sehingga ke Hollywood.

Michelle membuktikan ratu cantik memang mampu menjadi platform untuk sukses dan dikenali dunia. Ketika kebanyakan orang di Malaysia masih memalit ratu cantik sebagai tabu, ironinya hari ini kita semua telah memperakui kejayaan besar bakat ‘produk’ ratu cantik.

Michelle boleh dianggap sebagai ratu cantik Malaysia paling sukses. Biarpun gagal mendapat sebarang tempat di Miss World peringkat dunia di Britain, penulis percaya dia telah memberi impak yang besar bahkan kini lebih berjaya daripada pemenang Miss World 1983, Sarah Jane Hutt, wakil tuan tuan rumah.

Berdasarkan sejarah, pencapaian terbaik Malaysia dalam Miss World di peringkat dunia ialah Lina Teoh yang meraih tempat ketiga pada 1998 di Seychelles, manakala pencapaian terbaik dalam Miss Universe pula sekadar di tempat 15 terbaik menerusi seorang lagi anak Ipoh, Josephine Wong pada 1970 di Florida, AS.

Malaysia pada era vintaj dan sebelum 1990-an mampu menghadirkan wakil-wakil ratu cantik yang penuh aura, karisma dan kompetitif, namun kini berterusan ketandusan jelitawan berkaliber. Entah di mana silapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI