JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal tidak menyangka perbuatannya membelakangi keluarga dengan kahwin lari bersama lelaki pilihan di Thailand pada awal tahun lalu akhirnya mendapat balasan yang sangat perit apabila menjadi ‘beg tinju’ suaminya itu.
Suami yang sepatutnya menjaga dan menyayangi isteri tiba-tiba bertukar menjadi seorang kaki pukul, kaki botol dan ketagih bermain judi online sehingga wanita empat anak itu terpaksa hidup di dalam rumah yang dipenuhi sampah-sarap.
Wanita berusia 34 tahun yang enggan dikenali berkata, lelaki pilihan berusia 36 tahun itu dikenalinya dalam tempoh yang singkat dan pernikahan mereka di Thailand juga dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.
Menurutnya, dia berharap suami baharunya itu mampu mengubah kehidupannya ke arah yang lebih baik, namun angan-angan tersebut tidak menjadi realiti, sebaliknya dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
“Sebelum berkahwin, dia ada terjebak dengan dadah, namun sudah berubah selepas kami berkahwin. Masalahnya pula selepas berkahwin, dia kerap mabuk dan bermain judi online, saya akan menjadi mangsa lepas geram apabila dia kalah judi.

“Saya tak tahu apa salah saya sehingga menjadi punching bag suami, saya sering dipukul termasuk di bahagian kepala.
“Tindakan itu bukan berlaku sekali dua, namun kerap sehingga saya sudah tak larat lagi diperlaku sedemikian rupa,” katanya ketika ditemui di rumah majikannya di Taman Megah Ria di sini semalam.
Wanita yang berasal dari Kota Bharu itu berkata, selepas berkahwin, dia mengikut suami baharunya itu berpindah ke Johor bersama dua anak perempuannya yang berusia 7 dan 10 tahun pada April tahun lalu.
Katanya, dua lagi anak tinggal bersama adiknya di Klang, Selangor.
“Kami selalu berpindah-randah di sekitar kawasan rumah kedai berhampiran Pasar Borneo, Masai setelah dihalau tuan rumah kerana mengganggu ketenteraman jiran tetangga disebabkan kerap bertengkar hampir setiap hari.
“Disebabkan sudah tidak mampu lagi untuk membayar deposit dan sewa rumah di tempat baharu, saya terpaksa mengambil keputusan untuk tinggal di flat terbiar yang dipenuhi sampah di Jalan Cenerai bersama dua anak perempuan sejak awal bulan ini.
“Walaupun rumah flat itu dipenuhi sampah-sarap dan tiada bekalan air dan elektrik, saya tiada pilihan selain tinggal di situ. Pada waktu pagi, saya akan membawa anak-anak bersama ke sekolah di mana saya bekerja sebagai pembantu kantin,” ujarnya.
Katanya, setelah genap setahun berkahwin, dia akhirnya membuat keputusan untuk berpisah kerana tidak tahan dengan sikap suaminya itu, malah lelaki terbabit juga tidak mempunyai pekerjaan tetap bagi menyara keluarga.
“Walaupun sudah seminggu berpisah, dia masih mencari saya di rumah flat terbiar itu pada Ahad lalu. Kali ini, dia tuduh saya ada lelaki lain dan menjadikan itu alasan untuk memukul dan menendang saya. Saya nekad untuk keluar daripada hidupnya,” kata wanita tersebut.
Tambahnya, dia pernah membuat laporan polis terhadap perbuatan suaminya, namun terpaksa menarik balik aduan kerana tidak mempunyai dokumen yang mengesahkan mereka adalah
pasangan suami isteri apabila pernikahan di Thailand tidak didaftarkan di negara ini.
“Saya sungguh menyesal, namun perkara sudah berlaku. Saya harap dapat mulakan kehidupan baharu selepas ini,” ujarnya.
















