fbpx

Baru seminggu dibuka sudah sembilan kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai melihat keadaan beberapa buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 5.3, Jalan Permas/Tanjung Bin, Serkat baru-baru ini.

PONTIAN – Pembukaan Jamba­tan Sungai Pulai di sini, yang pada mulanya melegakan orang ramai kerana dapat menjimatkan masa perjalanan bertukar igauan buruk pula apabila sudah merekodkan sembilan kemalangan sejak tujuh hari lalu.

Kemalangan di Simpang 4, Chokoh, Serkat di sini itu didakwa disebabkan oleh pengguna yang tergamam dan keliru sebaik tiba di lokasi ber­kenaan.

Ketua Kampung Kawasan (1) Mukim Serkat, Ab. Samir Mahadi berkata, jalan itu merupakan simpang keluar melalui jambatan tersebut untuk ke Tanjung Piai, Kukup dan Pontian.

Katanya, walaupun ada petak kuning dan beberapa papan tanda, namun pengguna didapati tidak berhati-hati hingga menyebabkan berlaku kemalangan.

“Kemalangan bukan sahaja melibatkan orang luar Kukup tetapi turut terjadi kepada penduduk tempatan.

“Melihatkan kepada keadaan ini, kami gesa pihak berkuasa menambah papan tanda amaran supaya pengguna lebih berhati-hati selain meminta pembinaan bonggol dan garisan kuning agar pemandu mengurangkan kelajuan ketika tiba di situ,” katanya di sini semalam.

Jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Gelang Patah di Johor Bahru ke Tanjung Bin di Pontian telah dibuka secara rasmi oleh Menteri Besar Johor, Dato Onn Hafiz Ghazi pada 19 Januari lalu.

Jambatan yang dibina dengan kos RM800 juta telah dapat memendekkan perjalanan daripada Tanjung Pelepas ke Kukup (Pontian) daripada satu jam kepada 30 minit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib ketika dihubungi mengesahkan mene­rima sembilan laporan kemalangan berasingan di Kilometer 5.3, Jalan Permas/Tanjung Bin (Simpang 4 Chokoh).

“Siasatan mendapati mangsa memberi alasan tidak perasan terdapat simpang empat dan ditambah dengan aliran trafik yang semakin sibuk kebelakangan ini.

“Kejadian terbaharu berlaku semalam (kelmarin) melibatkan dua buah kenderaan dan mereka juga memberikan alasan yang sama,” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad Shofee meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan tersebut dan lebih bertimbang rasa.

“Pemandu kena memperlahankan kenderaan dan melihat papan tanda amaran serta petunjuk arah yang dipasang oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI