fbpx

Akauntan ‘songlap’ duit syarikat agensi pelancongan, umrah RM1.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Seorang akauntan di sebuah syarikat agensi pelancongan dan umrah di sini ditahan selepas dipercayai terlibat dalam jenayah pecah amanah dengan membuat pemindahan wang milik syarikat berjumlah RM1.3 juta.

Lelaki berusia 30 tahun diberkas kira-kira pukul 6.45 petang di Balai Polis Kota Bharu di sini kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pengarah syarikat tersebut membuat laporan polis berkait kes pecah amanah melibatkan pekerja syarikat itu kira-kira pukul 4.58 petang pada hari yang sama.

Menurutnya, dia telah membuat semakan akaun sebelum mendapati ada keraguan transaksi wang keluar ke akaun yang tidak diketahui kira-kira pukul 8.15 pagi kelmarin.

“Pengadu telah mengesan suspek yang juga pegawai akaun syarikat itu telah membuat transaksi perbankan dalam talian secara tidak sah tanpa mengikut arahannya dan bukan untuk urusan syarikat.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku mengambil wang tersebut sejak Julai tahun lalu sehingga Januari tahun ini. Kesemua transaksi wang tersebut telah dipindahkan ke dua akaun bank milik rakannya yang merupakan warganegara Kemboja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhamad Zaki, suspek turut mengaku dia telah membuat transaksi pindahan wang milik syarikat berjumlah RM1.3 juta atas arahan lelaki Kemboja itu yang merupakan rakan sekolahnya dan kini berada di Johor.

Tambahnya, suspek direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI