LIPIS – Kementerian Kerja Raya (KKR) tetap meneruskan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU), Seksyen 3J, Kampung Seberang Jelai ke Relong walaupun berdepan beberapa masalah berkaitan tenaga buruh, pengambilan tanah, bahan pembinaan dan cuaca.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kerajaan akan memastikan projek yang bernilai RM257 juta itu disiapkan menjelang 2026.
“Sehingga ini projek LTU telah mencapai kemajuan 14 peratus melibatkan Seksyen 3J merangkumi skop kerja pembinaan jalan baharu berkembar empat lorong dua hala sepanjang 6.95 kilometer dari Kampung Seberang Jelai ke Relong termasuk lima buah jambatan, dua buah ‘Vehicular Box Culvert’ (VBC) dan pengambilan balik tanah.
“Hari ini lawatan saya untuk mengenalpasti isu dan cabaran yang dihadapi kontraktor bagi memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual yang telah dirancang,” katanya dalam sidang akhbar pemberita di tapak projek berhampiran Kampung Selindang, Padang Tengku di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahman, LTU merupakan salah satu dari projek berimpak besar di bawah KKR yang melibatkan enam pakej dari Kelantan ke Pahang.
Katanya, antara salah satu pakej yang terlibat ialah pakej tiga dari Gua Musang, Kelantan ke Relong, Pahang melibatkan kos RM10 bilion sejauh 350 Kilometer.
“LTU yang dahulunya dikenali sebagai Central Spine Road (CSR) ini mampu menyingkatkan masa perjalanan pengguna daripada Kuala Lumpur ke Gua Musang, Kelantan kepada tiga jam sahaja.
“Apabila siap projek ini akan memberi kemudahan laluan sebanyak dua juta kenderaan ketika waktu puncak seperti musim perayaan dan cuma memakan masa selamat 30 minit dari Relong (Lipis) ke Gua Musang, Kelantan,” katanya.-KOSMO! ONLINE